MARUDI: Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Penguang Manggil mengadakan lawatan ke Rumah Christopher ( rumah panjang Penghulu Buan ) Sungai (Sg.) Mallang bagi meninjau kerja-kerja projek baikpulih rumah panjang yang telah siap sepenuhnya.
Dalam program Pemimpin Bersama Rakyat itu Penguang selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi sempat ‘berandau’ bersama penduduk di rumah panjang dan berbincang mengenai isu-isu setempat dan perancangan masa hadapan di Sg. Mallang.
Beliau turut mengadakan lawatan ke gereja Roman Katolik (RC) yang dibangunkan dengan peruntukan Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan berjumlah RM150,000 pada tahun lepas.
Menurut Penguang UNIFOR telah memperuntukkan lebih RM4 juta disalurkan kepada rumah ibadat sejak 2017.
Dalam lawatan sehari itu beliau sempat singgah ke Kampung Melayu Beluru Bakong untuk menghadiri program Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di dewan serbaguna yang telah dinaik taraf dengan menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang disalurkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Oleh Jiku Juguong