KUCHING: Polis memangil ibu bapa kepada remaja berusia 16 tahun yang memandu kereta Proton Saga di Jalan Teo Kui Seng/Jalan Stutong Baru dan terbabit dalam kemalangan semalam hingga mengorbankan lima nyawa.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah memberitahu Utusan Sarawak polis sedang membuat siasatan secara menyeluruh dan mengambil keterangan kedua-dua ibu bapa remaja terbabit.
“Kami menyiasat daripada pelbagai sudut untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku,” katanya.
Beliau berkata, pada jam 12.50 petang semalam, remaja 16 tahun itu memandu kereta Proton Saga bersama tiga rakan tetapi hilang kawalan, lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.
Kereta itu merempuh satu lagi kereta Proton Saga, dua motosikal dan Toyota Altis.
Empat daripada mangsa yang berumur antara 16 hingga 45 tahun, termasuk seorang wanita meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu remaja lelaki berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Mohd Farhan berkata, remaja lelaki berusia 16 tahun yang memandu kereta Proton Saga kini masih menerima rawatan di HUS kerana mengalami kecederaan di leher.
Beliau menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, ASP Lucas Apin, di talian 013-8246881 atau 082-259900, atau melaporkannya di balai polis berhampiran.
Oleh Connie Chieng