SALZBURG: Jurgen Klopp melahirkan rasa teruja mengenai tugas baharunya sebagai ketua bola sepak global di Red Bull sambil menolak kemungkinan bahawa ia adalah sebahagian daripada persediaan untuk kembali ke pengurusan dalam masa terdekat.
Bekas pengurus Liverpool itu dilantik menjawat jawatan itu tahun lalu dan memulakan tugasnya pada bulan ini.
“Saya tamatkan tugas saya di Liverpool tujuh bulan yang lalu dan saya melakukannya dengan sedar.
“Saya kata saya bukan orang yang tepat untuk pekerjaan itu lagi, tetapi saya tidak pernah kata saya tidak akan bekerja lagi dan beberapa bulan kemudian peluang ini datang,” kata jurulatih Jerman itu dalam satu sidang media di ibu pejabat syarikat minuman tenaga itu di Salzburg, Austria.
“Saya mahu menjadi sebahagian daripadanya dan kini saya semakin sedar setiap hari bukan sahaja saya teruja tetapi juga saya boleh menjadi seorang yang berguna.”
Klopp menegaskan bahawa dia gembira berada jauh dari kesibukan harian pengurusan kelab selepas lebih dua dekad bekerja di bangku simpanan tanpa rehat.
Pengurus berusia 57 tahun itu menegaskan bahawa dia tidak mempunyai niat menggunakan kedudukan barunya sebagai jalan pintas untuk kembali ke latihan di salah satu kelab Red Bull, walaupun dia tidak sepenuhnya menolak kemungkinan untuk menguruskan sebuah pasukan semula pada masa depan.
“Saya tidak akan menjadi jurulatih untuk pasukan Red Bull, itu sesuatu yang jelas.
“Saya jamin bahawa saya tidak akan menjadi jurulatih tetapi saya mungkin satu-satunya orang dalam bilik ini yang akan ditanya di mana saya mungkin berada dalam empat atau lima tahun – tiada siapa yang tahu di mana mereka akan berada dalam lima tahun,” katanya. – AFP