MIRI : Penduduk di kawasan pedalaman Wilayah Utara Sarawak yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula menerima bantuan makanan bermula semalam.
Bantuan bekalan makanan itu dihantar dengan menggunakan helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sebanyak 13 lokasi kawasan pedalaman di Bahagian Miri dikenal pasti untuk penghantaran bantuan makanan itu.
“Sebagai permulaan hari ini (semalam), kita menghantar bantuan makanan menggunakan helikopter TUDM ke kawasan Bario,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bantuan Bekalan Makanan Sarawak Bahagian Miri di Pangkalan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sini, semalam.
Turut hadir, Panglima Medan Timur Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zambrose Mohd Zain dan Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin.
Abang Johari berkata, jadual penghantaran barang makanan itu ke 13 lokasi tersebut termasuk di kawasan Telang Usan, Baram akan selesai dalam masa antara tiga hingga lapan hari bergantung kepada keadaan cuaca.
Beliau turut merakamkan terima terima kasih kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kerana memberi kerjasama dengan Kerajaan Sarawak untuk menjalankan operasi penghantaran bekalan makanan di kawasan tersebut.
Sementara itu, Abang Johari menerusi satu kenyataan semalam berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri (KPDNHEP) akan memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi di semua 800 pusat jualan, kedai runcit di seluruh Sarawak yang dibenarkan beroperasi setiap hari mulai jam 7 pagi hingga 4 petang.
Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM16.4 juta untuk membekalkan makanan asas kepada golongan sasaran di seluruh negeri ini. Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan RM200,000 dan golongan sasaranya yang dibekalkan dengan makanan asas ini terdiri daripada Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan luar bandar dan pendalaman, miskin bandar, dan mereka yang terputus pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Setakat semalam, semua Jawatankuasa Bencana Bahagian atau Daerah, dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan, Pusat Khidmat ADUN dan NGO telah selesai mengenalpasti golongan sasaran dan jumlah rakyat yang akan mendapat bekalan makanan di seluruh Sarawak adalah kira-kira 450,000 orang.