SIBU: Mahkamah Sesyen di sini semalam telah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas seorang pekerja am selepas mengaku bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat seorang tukang kayu, 13 Jun lepas.
Zaimezal Dollah, 30, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit dengan kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian seorang tukang kayu berusia 43 tahun di hadapan sebuah kedai di Sungai Antu pada 13 Jun 2020, kira-kira jam 8.30 malam.
Menurut fakta kes, pengadu yang juga pembekal aksesori kereta sedang minum bersama mangsa dan tertuduh di hadapan sebuah kedai di Sungai Antu.
Kemudian berlaku pergaduhan antara tertuduh dan mangsa, dimana pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh pengadu.
Tertuduh kemudian diminta pulang namun kembali semula ke tempat kejadian serta bertindak menterbalikan meja tempat mereka minum.
Mangsa yang duduk di hadapan meja cuba mengelak namun terjatuh ke atas lantai sebelum dihempap oleh meja terbabit di bahagian kepala.
Pengadu melihat kepala mangsa berdarah dan bergegas mencari ubat dari dalam kedai bagi merawat kecederaan mangsa.
Dia kemudian menghubungi pihak polis dan mangsa dikejarkan ke hospital, sebelum meninggal dunia tiga hari kemudian.
Zaimezal yang tidak diwakili dalam rayuannya menyatakan rasa kesal dengan apa yang berlaku, selain terpaksa menyara tiga adiknya yang masih sekolah serta ibu bapa yang sudah tua.
Timbalan Pendakwa Raya, Sangari Ponnan memberitahu mahkamah kesalahan yang dilakukan tertuduh amat serius dan memohon hukuman setimpal dikenakan.
Katanya, dalam kes ini tertuduh telah meninggalkan tempat kejadian sebelum kembali semula sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
“Mangsa mempunyai tiga orang anak berumur 14 dan 20 tahun, sementara isterinya tidak bekerja. Keluarga mangsa juga bergantung sepenuhnya kepada mangsa,” ujarnya.
Kes didengar dihadapan hakim Caroline Bee Majanil.
Oleh Akun Giman