SIBU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu telah mempertingkatkan pemantauan di kawasan yang terjejas akibat banjir sejak malam kelmarin.
Menurut Ketua JBPM Zon 4 Sibu, Andy Alie, Unit Udara JBPM hari ini telah digerakkan untuk memantau keadaan dari udara dan mengenal pasti kawasan yang memerlukan bantuan segera.
“Keutamaan kami adalah memastikan keselamatan penduduk dan memberi bantuan segera kepada kawasan yang terjejas,” katanya hari ini.
Andy berkata, beberapa kawasan di sini yang terjejas masih belum pulih sepenuhnya walaupun paras air mula surut semalam.
“Kawasan rendah, terutamanya yang berdekatan dengan sungai, masih terjejas dan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas di laluan utama.
“Keadaan ini menyukarkan penduduk serta pengguna jalan raya di kawasan tersebut,” katanya.
Antara jalan yang paling teruk terjejas adalah Jalan Salim-Stabau dan Jalan Sungai Assan, di mana paras air melebihi dua kaki, menghalang kenderaan ringan daripada melaluinya.
Selain itu, beberapa jalan lain seperti Jalan Lanang, Jalan Khoo Peng Loong, Jalan Tekam, Jalan Nyatoh, dan Jalan Kampung Datu turut terjejas dengan paras air antara 0.5 hingga 1 kaki, namun masih boleh dilalui dengan berhati-hati.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau penutupan sekolah dan perniagaan.
Penduduk di kawasan rendah diminta untuk berhati-hati dan bersedia berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir pada petang ini dan hujan lebat pada malam nanti, yang dijangka berterusan hingga esok.
Oleh Tarani Lanting