MARUDI : Tiga buah Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) di Ulu Baram dinaiki air ekoran hujan lebat malam semalam yang membabitkan SK Long Bemang, Long Panai dan Long Linei dengan keadaan paras air masih bertahan.
Menurut kenyataan Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Zon Miri, Law Poh Kiong, ketiga-tiga sekolah tersebut tidak beroperasi bagi mematuhi Perintah Kawalah Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Kata kenyataan itu, setakat jam 8.00 pagi semalam keadaan paras air di SK Long Bemang masih dinaiki berbanding malam kelmarin disebabkan hujan lebat di kawasan Apoh.
“Kawasan air di sekolah terbabit masih dinaiki air ialah padang sekolah, dewan perhimpunan dengan kenaikkan paras air setinggi 18 inci, bawah kuarters guru ( 58.5.inci ), bawah dapur dan dewan makan ( 58.5 inci ), bawah asrama (18 inci ) dan bawah kelas (6 inci ),” ujar kenyataan itu.
Sementara di SK Long Panai setakat jam 6.30 pagi semalam, paras air di kawasan padang sekolah dinaiki air sedalam dua kaki.
Kawasan-kawasan lain yang turut terjejas banjir ialah laluan simen ke bangunan sekolah, kuarters Sebiro guru dalam empat buah dan rumah genset sekolah.
Sementara kawasan yang terjejas banjir di SK Long Linei ialah bawah bangunan pentadbiran, laluan simen ke bangunan sekolah, kuarters guru dan kakitangan awam dan laluan ke bangunan pra sekolah.