Petronas perlu menghormati kedudukan Petros sebagai penjaga hak, kepentingan Sarawak – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
Abang Johari pada sesi Townhall Lapan Tahun Bersama YAB Premier, di Pusat Acara Hikmah Exchange, di Kuching malam ini. Foto MOHD NEENATUL AIZAL

KUCHING: Petronas perlu menghormati kedudukan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai entiti negeri yang bertanggungjawab menguruskan pengagihan gas di Sarawak, sesuai dengan hak perlembagaan negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan Petros bukan pesaing kepada Petronas, tetapi rakan strategik yang berperanan dalam memastikan hak dan kepentingan negeri Sarawak dalam industri minyak dan gas dihormati.  

“Ya, Petronas adalah syarikat kebangsaan yang perlu kita sokong, tetapi kawasan ini, mengikut Perlembagaan Persekutuan, berada di bawah hak Sarawak. 

“Dalam Perlembagaan, seperti yang dirujuk dalam Jadual Kesembilan, negeri mempunyai kuasa penuh ke atas aktiviti perlombongan di wilayahnya,” katanya ketika sesi Townhall Lapan Tahun Bersama YAB Premier, di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, malam ini.

Abang Johari menjelaskan, peranan Petros sebagai agregator tunggal pengagihan gas di Sarawak adalah berasaskan undang-undang, dan hak tersebut telah diiktiraf melalui rangka perundangan yang sedia ada.  

“Petros bukan sahaja menguruskan pengagihan gas, tetapi juga memastikan gas ini digunakan untuk manfaat rakyat Sarawak, termasuk untuk penjanaan tenaga oleh Sarawak Energy Berhad. 

“Petronas pula terus memainkan peranan dalam sektor huluan. Ini adalah kerjasama strategik yang saling melengkapi, bukan persaingan,” katanya lagi.  

Menurut Abang Johari, usaha ini adalah kesinambungan kepada perjuangan Allahyarham Tun Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) yang menekankan kepentingan Sarawak untuk tidak hanya menjadi pemerhati, tetapi turut aktif mengambil bahagian dalam industri minyak dan gas.  

“Sebagai pengganti Tok Nan, saya ingin pastikan Sarawak bukan sahaja melihat tetapi turut serta. Oleh itu, Petros mesti dihormati, kerana kewujudannya adalah berdasarkan hak perlembagaan kita,” tegasnya.  

Beliau turut merujuk kepada kerjasama baru-baru ini dengan Jepun dalam pembangunan teknologi pemerapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon (CCUS) di Mukah, yang melibatkan Petros, Petronas, dan Jepun.  

“Kerjasama ini membuktikan bahawa kita mampu berkongsi tanggungjawab dengan pihak lain untuk menguruskan industri ini demi manfaat bersama.

“Tiada salahnya Petronas bekerjasama dengan Petros kerana kita mempunyai hak untuk menguruskan pengagihan ini,” katanya.  

Oleh SHAHRUL QAIZAT dan MOHD NEENATUL AIZAL 

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman