KANOWIT: Seramai 20 penghuni Rumah (RH) Leo, Nanga Lipus, dan Rumah Alice di sini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Nanga Ngungun selepas kawasan tersebut dinaiki air akibat banjir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, Rashid Songli, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11 pagi sebelum menggerakkan empat anggota ke lokasi.
Katanya, laluan ke RH Leo yang dinaiki air menyukarkan kenderaan bomba untuk masuk, memaksa pasukan bomba, polis, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjalan kaki ke kawasan tersebut.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati paras air di dalam rumah panjang telah naik setinggi 1.5 meter.
“Setelah berbincang dengan polis dan agensi penyelamat lain, penghuni dinasihatkan untuk berpindah kerana paras air semakin meningkat dan membahayakan,” katanya dalam satu kenyataan.
PPS berkenaan mula dibuka pada jam 11.30 malam tadi dan operasi pemindahan mangsa masih diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi.
Penduduk yang dipindahkan terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, 11 wanita dewasa, seorang kanak-kanak perempuan, dan seorang kanak-kanak lelaki.