LAWAS: Realiti kepada kehidupan dalam kelompok masyarakat yang pelbagai latar belakang dan agama harus dipelihara sepanjang masa.
Pengarah Jabatan Perpaduan Sarawak, Diwarna Azool berkata melalui program Rukun Tetangga, pihak jabatan telah mendapat maklum balas yang amat baik daripada rakyat di akar umbi.
“Empat elemen penting dalam program Rukun Tetangga dibawah Jabatan Perpaduan iaitu kesejahteraan komuniti, keselamatan komuniti, kesihatan dan kebersihan mampu mengerakkan masyarakat akar umbi kepada satu hala tuju yang sama.
“Program Rukun Tetangga telah mampu meningkatkan interaksi antara masyarakat dalam sesebuah komuniti,” katanya pada majlis sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2025 Peringkat Daerah Lawas di Dewan Masyarakat Trusan malam tadi.
Majlis itu dianjurkan Jabatan Perpaduan dengan kerjasama jawatankuasa permuafakatan Rukun Tetangga Daerah Lawas.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Pegawai Perpaduan Daerah, Peridah Lair.
Diwarna juga mengakui sepanjang menjadi pengarah Jabatan Perpaduan Sarawak, pihaknya telah mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada Henry Sum.
Selain itu kerjasama erat antara Jabatan Perpaduan dan jabatan lain seperti Pejabat Daerah, Polis DiRaja Malaysia dan lainnya sangat diperlukan untuk menjayakan program Rukun Tetangga dan rondaan Rukun Tetangga.
Oleh ADENG EDRUS