SIBU: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan yang baharu dilantik, Kaunselor Kevin Lau bertekad untuk bekerjasama dengan jawatankuasa serta sayap belia dan wanita, bagi memupuk perpaduan dalam kalangan semua ahli cawangan.
Beliau melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui cawangan tersebut.
“Saya memberi penghormatan kepada Pengerusi Senator Robert Lau, yang telah mengetuai cawangan ini selama 10 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa SUPP Cawangan Bawang Assan yang terdiri daripada Pemuda, Wanita bagi Sesi 2025-2027, hari ini.
Lau berkata, di bawah kepemimpinan Robert, bersama dengan usaha jawatankuasa, belia dan sayap wanita, Cawangan Bawang Assan mengatasi pelbagai cabaran dan menubuhkan asas yang kukuh.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jawatankuasa, belia dan sayap wanita atas sokongan dan perpaduan mereka yang membolehkan saya mengambil peranan sebagai pengerusi cawangan,” katanya.
Menurutnya, pada April 2023, Robert membentuk pasukan pembangunan komuniti dan memberi kepercayaan kepadanya untuk mengetuainya.
“Bersama-sama ketua masyarakat dan ahli majlis, mereka melawat Bawang Assan untuk berkhidmat kepada rakyat dan melibatkan diri dengan mereka.
“Dari semasa ke semasa, kami didatangi individu yang mengaku diri sebagai ahli veteran parti. Ini sangat bergema dengan kami, kerana ia mencerminkan hubungan kukuh dan kepercayaan ahli veteran kami untuk parti kami.
“Ini juga mengingatkan kami tentang sumbangan pemimpin terdahulu terhadap masyarakat Cina dan pendidikan yang mendapat kepercayaan ahli kami,” kata beliau.
Lau turut menegaskan SUPP Cawangan Bawang Assan perlu terus komited dengan persiapan dan tindakan yang menunjukkan keikhlasan dalam berkhidmat kepada rakyat.
“Kita mesti menunjukkan apa yang boleh kita capai untuk mereka pada masa hadapan. Baharulah kita boleh bekerjasama untuk membina masa depan yang cerah untuk Bawang Assan,” kata beliau.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Presiden SUPP, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang, ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng, Ahli Dewan Negara, Senator Robert Lau, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Kho Teck Wan serta yang lain.
Oleh Akun Giman