SIBU: Kejayaan Sarawak pada hari ini adalah hasil daripada kestabilan politik telah berjaya menyatupadukan rakyatnya yang berbilang kaum, bangsa dan agama.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, kestabilan Sarawak bermula dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan SUPP serta disokong oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menyatakan ketika menghadiri Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) kami bulan lalu bahawa SUPP adalah rakan kongsi yang setia.
“Ini lebih mengukuhkan lagi kerjasama parti dalam menyatupadukan rakyat seterusnya mencipta pelbagai kejayaan Sarawak seperti hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap
menyempurnakan majlis Angkat Sumpah SUPP Cawangan Bawang Assan yang terdiri daripada Pemuda, Wanita dan Jawatankuasanya bagi Sesi 2025-2027 yang juga Sambutan Tahun Baharu 2024 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Dr. Sim yang juga Timbalan Premier Sarawak turut mengimbau nasib SUPP pada 2014 yang hampir lumpuh disebabkan kemelut dalaman partinya yang wajar menjadi pengajaran kepada semua ahli parti.
“SUPP sekarang kalau dibandingkan SUPP 2014, adalah jauh berbeza. Lihatlah SUPP sekarang. Disebabkan kesetiaan anda, SUPP masih ‘hidup’ hingga ke hari ini, malah lebih kukuh lagi berbanding 10 tahun lalu.
“Sehubungan itu, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli parti kerana kesetiaan telah menjadikan SUPP yang lebih baik hingga ke hari ini,” kata beliau.
Pada majlis tersebut, Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau telah mengetuai jawatankuasanya mengangkat sumpah pada majlis tersebut.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang, ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng, Ahli Dewan Negara, Senator Robert Lau, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Kho Teck Wan serta yang lain.
Oleh Akun Giman