SIMANGGANG: Inisiatif yang diperkenalkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cina Kampung Pasir Panas dengan menyediakan insentif pemberian sumbangan angpau kepada penduduk kurang berkemampuan harus dicontohi oleh pertubuhan lain.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, usaha ini harus dicontohi oleh pelbagai lapisan masyarakat yang terlibat dalam pertubuhan, persatuan dan kelab dalam membantu golongan memerlukan.
Beliau berkata sesebuah pertubuhan perlu terus bekerjasama dengan kerajaan dalam membantu menjaga kebajikan rakyat yang memerlukan. Beliau berkata, usaha ini penting untuk memastikan rakyat dapat hidup sejahtera.
“Tidak kira bangsa ataupun agama, kita akan memastikan rakyat Sarawak terutama mereka yang memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan. Justeru, kita sarankan pertubuhan mahupun badan korporat menjalinkan kerjasama lebih erat demi kebaikan kumpulan sasar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan mesyuarat Agung Tahunan JKKK Cina Kampung Pasir Panas 2025/2026 di sini semalam.
Harden turut mengucapkan tahniah kepada ahli jawatankuasa yang baharu dan mengharapkan mereka dapat meneruskan kerjasama dengan memberi sokongan kepada pengerusi dalam memberi perkhidmatan kepada penduduk dibawah jagaan mereka.
“Saya memandang berat peranan yang dimainkan oleh pertubuhan JKKK sebagai badan yang diiktiraf oleh kerajaan, memberi input mengenai pelaporan sesebuah kawasan JKKK dalam pelbagai keperluan terutama infrastruktur untuk memohon kepada kerajaan.
“Baru-baru ini kita telah mendapat laporan daripada Kapitan Kang Tai Hing mengenai kegagalan pembetung mengalirkan air yang menyebabkan air bertakung di kawasan Jalan Pasir Panas Lorong 1. Kita telah membuat pemeriksaan dan mendapati benar berlaku kegagalan fungsi pembetung.
“Hasil daripada itu, kita akan mengangkat permasalahan ini kepada agensi pelaksana untuk menilai dan membuat kertas kerja termasuk kos anggaran pembinaan. Inilah prosedur tatakerja yang perlu diketahui oleh setiap pengurusan JKKK masing-masing,” katanya.
Pada majlis itu juga diserahkan limau mandarin kepada penerima angpau bagi menandakan menjelangnya sambutan Tahun Baharu Cina 2025 yang merupakan tahun ular menurut kalendar masyarakat Cina.
Selain daripada itu, diadakan majlis penyampaian angpau kepada 20 warga emas, penyampaian angpau kepada 14 penerima golongan kurang bernasib baik, penyampaian angpau kepada tujuh bayi baharu lahir dan penyampaian insentif kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Oleh Adi Saparman