SARIKEI: Objektif utama Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri Sarawak adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya di Bahagian Sarikei agar lebih peka untuk mengamalkan pemanduan dan penunggangan yang selamat menjelang sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) yang bakal menjelang.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berkata, kempen kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat terutamanya semasa musim perayaan diharap dapat memberikan impak yang signifikan kepada semua pengguna jalan raya.
“Kita merasa sangat bertuah kerana pada tahun ini, sempena TBC akan tiba, pihak Kementerian Pengangkutan telah memilih Bahagian Sarikei sebagai lokasi pelaksanaan kempen ini.
“Seperti kita semua sedia maklum dan saksikan melalui akhbar mahupun media sosial, Bahagian Sarikei tidak terkecuali daripada berlakunya kemalangan melibatkan pengguna jalan raya, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.
“Program yang diadakan ini merupakan indikasi bahawa pihak kerajaan sentiasa mengambil berat dan ingin melaksanakan tanggungjawab dengan mengambil langkah pencegahan kemalangan jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri Sarawak sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 di Pusat Inovasi Sarikei (SIC), hari ini.
Program ini merupakan anjuran Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sarikei dan Majlis Keselamatan Jalan Raya Bahagian Sarikei.
Tambah Tiong Sii, beliau percaya bahawa usaha mempromosikan mengenai kepentingan menjaga keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya perlu diteruskan pada setiap masa dan tidak hanya terhad semasa musim perayaan.
“Oleh itu, di kesempatan ini saya ingin mengajak semua terutamanya bagi penunggang motosikal untuk sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di atas jalan raya.
“Pastikan sentiasa memakai topi keledar yang berkualiti, memeriksa motosikal sebelum memulakan perjalanan dan menunggang atau memandulah dengan berhemah,” katanya.
Hadir bagi merasmikan kempen tersebut ialah Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin.
Oleh Earl Anek