ENGKILILI: Seramai tujuh penghuni dari tiga pintu rumah panjang di Rumah Munggu Sankis kini berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan berlaku tanah gelongsor di kawasan belakang rumah panjang terbabit, semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel berkata pihaknya menerima panggilan daripada Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berhubung kejadian tersebut sekitar jam 9.30 pagi.
“Pengadu telah melaporkan kejadian tanah runtuh itu berlaku disebabkan hujan lebat semalaman. Kawasan yang terjejas melibatkan kawasan belakang rumah panjang.
“Sebanyak tiga pintu bilik rumah panjang terjejas ekoran runtuhan tersebut,” katanya.
Desem berkata setibanya di lokasi kejadian, anggota APM terus membuat pemantauan di rumah panjang terbabit.
“Keadaan ini terjadi apabila hujan lebat yang berlarutan semalaman. Namun tiada sebarang kemalangan dan kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Keluasan yang terjejas sepanjang 30 kaki dan sedalam 19 kaki, dan anggota APM telah memasang pita keselamatan di kawasan yang terjejas tanah agar penduduk kampung tidak menghampiri kawasan tersebut,” katanya.
Desem menasihatkan semua penduduk agar bersiap sedia dengan segala kemungkinan dan sentiasa peka dengan amaran hujan yang akan menyebabkan tanah gelongsor terjadi lagi.
“Sekiranya tanah runtuh terjadi, penduduk kampung juga dinasihatkan agar berpindah ke tempat yang lebih selamat.
“Sehingga kini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) di buka ekoran kejadian tersebut,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN