SARIKEI: Penubuhan Public Medicare Group (PMG) bukan sahaja memperkukuhkan landskap penjagaan kesihatan dalam negara tetapi juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan, khususnya di Sarawak.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, usaha ini sebagai satu langkah besar dalam meningkatkan taraf kesihatan rakyat di Sarawak.
Dalam pada itu, Tiong Sii turut memuji PMG atas usahanya menyediakan perkhidmatan perubatan yang mudah diakses dan mampu milik, terutama kepada komuniti luar bandar di Sarawak.
“Hari ini, PMG berkembang pesat dengan lebih 180 cawangan di seluruh negara, termasuk farmasi, klinik perubatan, klinik pergigian dan makmal.
“Kejayaan ini adalah bukti visi, kerja keras dan dedikasi seluruh pasukan PMG.
“Di bawah kepimpinan Dr. Chieng King Chong dan Andrew Wong, PMG terus menjadi peneraju sektor penjagaan kesihatan di Malaysia,” katanya pada majlis ulang tahun
Public Medicare Group (PMG) ke-13 di Dewan Sentral Sarikei, malam tadi.
Beliau memuji perjalanan luar biasa PMG pembukaan cawangan farmasi runcit pertamanya di Bintangor.
Tiong Sii turut memuji inisiatif kerajaan Sarawak di bawah kepemimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berjaya memacu pembangunan ekonomi dan sosial, termasuk melalui program seperti Skim Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB).
“Ia menawarkan rawatan pesakit luar tanpa tunai sehingga RM500 setahun untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas di klinik panel berdaftar, sekali gus mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan awam.
“Kerjasama kukuh antara sektor swasta seperti PMG dan kerajaan adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi mampan dan pembangunan sosial yang inklusif,” katanya.
Beliau juga berharap agar PMG meneruskan kecemerlangan tersebut.
“Saya amat berbangga dengan kejayaan PMG dan semoga mereka terus berjaya pada tahun akan datang,” katanya.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran tokoh perniagaan antarabangsa, pengasas Ikhlas Capital dan juga Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia, Tan Sri Nazir Razak.
“Kehadiran beliau dilihat sebagai sokongan kepada usaha memajukan sektor perniagaan dan penjagaan kesihatan tempatan,” tambahnya.
Majlis yang penuh dengan suasana kemeriahan itu turut menyaksikan penghargaan diberikan kepada pasukan PMG atas dedikasi mereka dalam memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi.
Turut hadir, pengasas yang juga Pengerusi Eksekutif PMG Healthcare Sdn Bhd Dr. Chieng King Chong dan pengasas yang juga Pengarah Eksekutif PMG Healthcare Sdn Bhd Andrew Wong Pak Ung.
Oleh Earl Anek