MIRI: Kerjasama antara Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mampu mengurangkan kejadian jenayah di dalam komuniti.
Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) dan AMANITA Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Miri serta ahli Kawasan Rukun Tetangga Skim Rondaan Sukarela (KRT/SRS) Kampung Tudan fasa 2A di sini mempergiat usaha mencegah jenayah.
Menurut kenyataan Polis Daerah Miri, rondaan diadakan untuk pencegahan jenayah agar tiada aktiviti jenayah berlaku di kawasan rukun tetangga sekali gus dapat mengurangkan kadar jenayah.
Katanya, rondaan itu melibatkan seramai dua anggota BPJKK, empat anggota AMANITA, empat pegawai perpaduan dan 36 anggota KRT/SRS Kampung Tudan Fasa 2A telah menyertai rondaan Pencegahan jenayah.
“Sebelum rondaan dijalankan sesi taklimat keselamatan dan tatacara rondaan telah disampaikan oleh Koperal Mohamad Jaffar Rosliee dari BPJKK IPD Miri.
“Rondaan jalan kaki berkumpulan dan kawasan tumpuan rondaan adalah sekitar kawasan yang sering menjadi tempat budak lepak dan kawasan yang gelap,” katanya.
Sementara itu, rondaan AMANITA tertumpu kepada perjumpaan bersama suri rumah untuk menerangkan tentang tatacara pencegahan jenayah, menyalurkan maklumat jenayah dan mengedarkan risalah pencegahan jenayah.
“Program rondaan ini akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengeratkan lagi perhubungan antara satu sama lain.
“Rondaan AMANITA ini sekali gus dapat berkerjasama di dalam program dan aktiviti kepolisian komuniti serta program pencegahan jenayah di kawasan tersebut agar tiada aktiviti jenayah berlaku,” katanya.
Di sepanjang rondaan dijalankan, pasukan rondaan memberi nasihat kepada penduduk agar sentiasa menjaga keselamatan harta benda.
Oleh Adum Liu