SIBU: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini berharap tidak berlaku masalah dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) apabila beliau berundur suatu hari nanti.
Sebaliknya kata Presiden PBB itu, beliau mahu meninggalkan legasi sebuah parti yang kuat dan dipimpin oleh mereka yang bijak serta tahu mengenai sains dan teknologi baharu.
“Saya dah 74 tahun (umur), bilakah (masa kepimpinan saya tamat)… namun saya ingin tinggalkan (legasi) PBB yang kuat serta anak Bumiputera yang bijak dilengkapi dengan kepakaran dalam sains dan teknologi baru,” katanya.
Premier Sarawak berkata demikian ketika berucap merasmikan
Mesyuarat Perwakilan PBB Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu di sini hari ini.
Abang Johari berkata, ahli-ahli PBB harus menentukan tiada sebarang masalah timbul yang boleh menggugat keutuhan parti keramat itu yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan Sarawak.
“Peralihan kepimpinan dari Tun Abdul Taib Mahmud kepada (Pehin Sri) Adenan Satem dan seterusnya kepada saya telah berlaku tanpa sebarang masalah.
“Alhamdulillah” katanya dengan ringkas apabila soalan yang dilontarkannya itu mendapat jawapan ‘tidak’ daripada lebih 2,700 perwakilan yang hadir.
Abang Johari menegaskan, PBB tetap menjadi satu pasukan yang akan memajukan Sarawak.
“Jadi saya doakan dalam kita mendoakan kejayaan kita, lihatlah masa depan kita. Sebab itu kita bersetuju untuk mewujudkan Sayap Belia PBB yang mewarisi kejayaan kita dan meneruskan usaha kita dalam landskap yang baharu,” katanya.
Abang Johari berkata, PBB adalah wadah untuk membela masyarakat Bumiputera termasuk di luar bandar.
“Kita telah dihormati oleh rakan kita, kita telah dilihat sebagai model, dari sudut perpaduan kita menjadi tiang kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah dapat melakarkan hala tuju kita selepas pilihan raya 2018.
“Kenapa kita keluar dari Barisan Nasional (BN)? Kita rasakan bahawa biarlah Sarawak disatukan dalam satu gerakan baharu bernama GPS mempertahankan hak-hak kita dan melaksanakan dasar yang telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita tidak berganjak, kita tidak berundur walaupun menghadapi masalah kita tetap dengan satu semangat membela rakyat Sarawak dalam lingkungan politik negara,” katanya.
Persidangan tersebut melibatkan 24 cawangan PBB dari Zon Tengah Sarawak menyaksikan sebanyak 15 usul dicapai.
Usul tersebut antara lainnya termasuk memberi sokongan padu kepada Abang Johari untuk terus menerajui PBB dan GPS dalam memacu kestabilan politik Sarawak dan Malaysia dan tiada pertandingan bagi jawatan presiden sehingga naib presiden kanan parti tidak dipertandingkan semasa Konvensyen ke-16 PBB di Kuching 14 Feb depan.
Oleh AKUN GIMAN dan TARANI LANTING