PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat delegasi Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) di Kasuma Resort, pagi tadi.
Kunjungan hormat yang diketuai Pengurus Besar SRDC yang juga Pengarah Urusan Sarawak Science Centre Sdn Bhd, Ts Dr Peter Morin Nissom tersebut bertujuan mengemas kini maklumat berkenaan peranan yang dimainkan oleh SRDC.
Antaranya, memantau serta memberi hala tuju untuk Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di Sarawak, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.
SRDC turut memaklumkan kepada Tun Wan Junaidi mengenai tiga projek penting yang sedang dilaksanakan.
Tiga projek berkenaan ialah Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) di Samarahan, Pusat Sains Sarawak di Petra Jaya dan SMD Semiconductor Sdn Bhd.
Tun Wan Junaidi pada masa sama menzahirkan keterujaan serta memberikan sokongan penuh kepada SRDC selain berkongsi pengalaman semasa bersama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar SRDC yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak Dr Ivan Yap Kok Seng, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor Sdn Bhd Shariman Jamil, Ketua Projek Penyelidikan SRDC Yeo Lii Kheng dan Setiausaha Pejabat, Vanessa Inja Randie.