KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak memperkemaskan penggunaan mesin dalam industri makanan melalui perkongsian pengalaman bersama rakan di Semenanjung.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata demikian ketika mengetuai lawatan kerja ke MT Bioglobal SB (MTB) di Taman Perindustrian Pontian Maju, di Johor untuk tujuan berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Peladang Biolazat Food SB (PBF) dan Maragang GreenValley Dairy SB (MGVD) turut membincangkan arah tuju pembangunan PBF dan MGDV.
Semasa lawatan tersebut, rombongan juga berpeluang melihat secara dekat konsep mesin industri makanan khas bagi penghasilan pelbagai produk makanan berasaskan hasil tani tempatan yang akan digunakan di Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Kubong, Limbang dioperasikan PBF dan Stesen Kerbau Maragang, Lawas dioperasikan MGVD.
Turut serta, Ahli Lembaga Pengarah MGVD dan PBF yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PBF dan MGVD Dr Raja Imran, Ahli Lembaga Pengarah PBF dan MGVD yang juga Ketua Pegawai Operasi MGVD Suzie Balung dan lainnya.
Oleh Adeng Edrus