BINTULU: Pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Mohammad kini berada pada tahap 92 peratus siap.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato’ Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek itu dijangka siap sepenuhnya menjelang April ini, bergantung kepada kelancaran proses pematuhan keselamatan, terutamanya yang melibatkan aspek kebombaan.
“Jika semuanya berjalan lancar, terutama dalam mematuhi peraturan keselamatan kebakaran, kami berharap pihak bomba dapat membantu memastikan semua syarat dipatuhi.
“Kami berharap pada Jun, para pelajar dapat berpindah ke sekolah ini dengan semua langkah keselamatan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke tapak cadangan pembinaan gantian penuh 30 bilik darjah dan lain-lain kemudahan di SK Orang Kaya Mohammad di sini, hari ini.
Tambahnya, projek tersebut penting untuk Bandar Bintulu berikutan peningkatan pesat populasi di kawasan itu, sekali gus memerlukan kemudahan pendidikan yang lebih baik.
Ketika ditanya mengenai isu yang timbul dalam projek itu, Roland memaklumkan bahawa masalah utama adalah kelewatan pemindahan kabel utiliti.
“Masalah utama yang menyebabkan sedikit kelewatan adalah berkaitan dengan pemindahan kabel utiliti.
“Itu sahaja yang menyebabkan sedikit kelewatan,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih