BINTULU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing mengecam tindakan pihak tertentu yang cuba mencetuskan kekacauan politik dengan agenda menggugat kepimpinan negara.
Tegasnya, kestabilan politik adalah kunci kepada masa depan negara.
“Tindakan segelintir pihak yang berulang kali mencetuskan pertikaian, kekacauan, menyebabkan perpecahan, dan menjadi ‘batu api’ bagi menukar kepimpinan kerajaan tanpa melalui proses demokrasi dalam pilihan raya harus dikutuk sebagai tindakan terdesak mereka demi manfaat peribadi dan kepentingan politik,” katanya.
Menurut Tiong menerusi kenyataan dalam laman media sosial Facebook peribadinya, spekulasi berterusan mengenai perubahan kepimpinan negara mampu merosakkan keyakinan pelabur asing, sekali gus mengganggu pemulihan ekonomi.
“Spekulasi yang bertiup kencang tentang ‘perubahan kepimpinan’ pada ketika ini boleh menjejaskan momentum kerajaan dalam menarik pelaburan yang berpotensi menjejaskan ekonomi negara,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Tiong turut mengingatkan bahawa rakyat perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lampau, di mana perubahan tiga kali kepimpinan perdana menteri dalam tempoh singkat telah mencetuskan ketidakstabilan dan menyusahkan rakyat.
“Apabila ketidakstabilan politik berlaku, pembangunan ekonomi terjejas, menyebabkan rakyat dalam kesusahan dan banyak keluarga bergelut dengan ketidakpastian,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk melengkapkan tempoh pentadbiran lima tahun sebagai peluang menilai prestasi kerajaan.
“Masa depan Malaysia tidak boleh tergelincir oleh agenda politik.
“Tanpa mengira sebarang perbezaan, saya menggesa semua pihak agar bersama-sama menyelesaikan pertikaian melalui dialog dan perundingan daripada tergesa-gesa mendesak perubahan dalam kepimpinan,” jelasnya.
Tegas beliau lagi, perpaduan dan kestabilan adalah asas kepada pemulihan negara, sambil menyeru rakyat untuk mengetepikan perbezaan demi memastikan Malaysia kekal aman, stabil, dan menarik sebagai destinasi pelaburan global.
“Tindakan terburu-buru hanya akan mengorbankan masa depan negara dan rakyatnya.
“Dengan memupuk semangat perpaduan, kita boleh menyumbang kepada kebangkitan negara,” ujar Tiong.
Oleh Carolyne Utih