KUCHING: Fish Lee mengukuhkan kedudukannya sebagai bintang baharu dalam arena sukan drift apabila mencatat kemenangan berganda di Kejohanan Drift NDSB (National Drift Series Borneo) dan BSDS (Borneo Drift Series) 2024.
Beliau dinobatkan sebagai juara dalam tiga kategori utama, iaitu NDSB Novice Final, BSDS Novice Final, dan NDSB Pro-Am Final, menunjukkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan.
Dalam NDSB Novice Final, Fish Lee menewaskan Amirul Rejab yang meraih tempat kedua dan Lee Kin Lip di tempat ketiga.
Sementara itu, di BSDS Novice Final, beliau menundukkan Richard Voon dan Chong Yun Fatt, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Prestasi cemerlang Fish Lee diteruskan apabila menguasai NDSB Pro-Am Final, meninggalkan Rome CP di tempat kedua, Hee Wei Seng di tempat ketiga, dan Zen High di tempat keempat.
Namun, dalam kategori BSDS Pro-Am Final, Fish Lee terpaksa berpuas hati di tempat kedua, di belakang juara Rome CP.
Kejayaan Fish Lee di pentas drift ini tidak berhenti di situ. Beliau turut diiktiraf sebagai Rookie of The Year, satu penghormatan kepada prestasi luar biasanya sebagai pelumba baharu.
Dalam keseluruhan kejohanan, Fish Lee sekali lagi menyerlah apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan NDSB Novice dan Juara Keseluruhan BSDS Novice.
Beliau turut berada di tempat kedua dalam kategori Keseluruhan NDSB Pro-Am dan tempat ketiga dalam Keseluruhan BSDS Pro-Am, membuktikan keupayaannya bersaing di peringkat tertinggi.
Pengiktirafan lain turut diberikan kepada pelumba lain, termasuk William Lau sebagai Best New Comer of The Year, EAR Drift Team sebagai Best Team of The Year, dan Tihor sebagai Most Improved Drifter.
Oleh SHAHRUL QAIZAT