KUCHING: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) membuat pemantauan bagi memastikan setiap sekolah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Sekolah yang ditetapkan apabila sekolah dibuka semula mulai semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Supt. Merbin Lisa bersama beberapa pegawai Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang di sini untuk membuat pemantauan sejajar dengan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Dalam lawatan tersebut, Merbin membuat perjumpaan dengan Pengetuanya, Bahtiar Affendi selain membuat tinjauan ke kelas-kelas untuk melihat sendiri aktiviti dan keadaan semasa.
Antara lokasi yang turut dilawati ialah pintu pagar utama masuk ke sekolah untuk pemeriksaan suhu badan, bilik Isolasi, pejabat guru dan lokasi pemeriksaan suhu guru dan staf serta bilik kelas.
Dewan sekolah tersebut turut disediakan untuk sebarang kes kontinjensi sekiranya cuaca hujan dan murid akan dikumpulkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.
Semalam, jumlah guru yang hadir adalah seramai 115 orang manakala murid Tingkatan 5 dan 6 yang hadir ke sekolah seramai 369 orang.
Sementara itu, pihak sekolah turut menyambut baik kedatangan anggota PDRM. Merbin dan delegasinya berpuas hati dengan tahap persediaaan dan kepatuhan SOP oleh sekolah itu.
Selain SMK Batu Lintang, beberapa pegawai Kanan IPD Kuching (Pegawai Perhubungan Sekolah – PPS) yang dilantik turut membuat pemantauan di 34 sekolah menengah di sini.
Hasil pemantauan mendapati sekolah-sekolah mematuhi garis panduan yang ditetapkan seperti pemeriksaan suhu badan bagi guru, murid dan pekerja dilakukan di depan pintu masuk.
Selain itu turut diamalkan penggunaan topeng muka dan cecair pencuci tangan, penjarakan sosial antara meja juga dilaksanakan di setiap kelas yang terlibat.
Purata murid setiap kelas adalah seramai 16 hingga 18 orang, sepanjang pemantauan telah menasihatkan semua guru, murid dan pekerja supaya mengamalkan penjarakan satu meter dan mematuhi setiap garis panduan.
Oleh Zarina Abdullah