WASHINGTON: Ribut musim sejuk yang kuat mula melanda bahagian tengah Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu, dengan pakar kaji cuaca memberi amaran bahawa jutaan penduduk di bahagian timur negara itu akan berdepan ribut salji, ais berbahaya, suhu tahap beku.
Lebih 60 juta orang berada dalam laluan ribut berbahaya itu, yang dijangka menyebabkan separuh daripada timur AS mengalami cuaca sejuk umpama wilayah kutub sehingga Isnin, sekali gus menghadapi gangguan perjalanan yang teruk.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memberi amaran mengenai cuaca buruk termasuk angin kencang di negeri-negeri dari Central Plains hingga Mid-Atlantic.
Amaran ribut musim sejuk telah dikeluarkan dari barat Kansas hingga ke negeri pesisir Maryland, Delaware dan Virginia, meliputi kawasan sepanjang 2,400 kilometer (km) yang menghadapi ancaman segera.
“Ribut musim sejuk yang ketara dijangka memberi kesan besar dari Central Plains ke Mid-Atlantic sehingga Isnin dengan salji lebat dan pengumpulan ais yang tebal,” kata NWS dalam laporan terkininya.
Ribut besar pertama tahun 2025 ini sudah pun menjejaskan perjalanan, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansas City mengumumkan penutupan operasi penerbangannya pada Sabtu ‘disebabkan pengumpulan ais yang cepat’.
Bahagian timur negeri New York dan Pennsylvania menghadapi ‘salji tebal’ yang boleh membawa salji setinggi 61 sentimeter (sm), menurut NWS.
Syarikat ramalan cuaca AccuWeather melaporkan bahawa jumlah salji tebal di rantau itu, yang sudah dilitupi salji minggu ini, boleh melebihi 122sm.
Ribut salji akan melanda Central Plains pada awal Ahad, dan ‘keadaan putih sepenuhnya’ akan menjadikan perjalanan sangat berbahaya, dengan jalan yang tidak dapat dilalui dan risiko tinggi pemandu terkandas, kata NWS.
“Salji lebat melebihi 38sm dari timur laut Kansas ke utara Missouri dijangka menjadi yang terberat dalam dekad ini,” tambahnya.
Ibu negara AS, Washington, dijangka dilitupi salji setebal 12sm atau lebih, dengan sehingga 25sm, mungkin tersebar ke kawasan berhampiran.
Dengan pergerakan pantas ribut ke selatan, suhu dijangka merudum, malah di beberapa tempat mungkin mencapai -18 Celsius, manakala tiupan angin kencang akan bertambah bahaya.
Suhu boleh jatuh puluhan darjah lebih rendah berbanding musim biasa sehingga ke Pantai Teluk AS. Sebelum itu, ribut petir yang teruk dijangka melanda Lembah Mississippi yang lebih rendah, menurut ramalan NWS.
Satu lagi kebimbangan utama ialah hujan batu yang diramalkan dari Kansas hingga ke Kentucky dan Virginia, menyebabkan jalan dilitupi ais tebal, menjadikan perjalanan berbahaya, pokok dan talian elektrik tumbang, dan mungkin meninggalkan jutaan orang tanpa bekalan elektrik ketika suhu sejuk melanda.
Gabenor Missouri dan Virginia telah mengisytiharkan darurat di negeri masing-masing, dan mereka menggunakan media sosial untuk memberi amaran kepada penduduk supaya bersedia menghadapi cuaca berbahaya hujung minggu ini.
Keadaan boleh menjadi lebih berbahaya di Pergunungan Appalachian, di mana taufan maut pada akhir September memusnahkan penempatan masyarakat dan merosakkan beberapa negeri di tenggara termasuk Kentucky.
“Ribut ‘dijangka menyebabkan gangguan besar dan keadaan berbahaya di jalan raya kami serta gangguan elektrik yang ketara hanya 24 jam sebelum suhu menjadi sangat sejuk di Kentucky,” kata Gabenor Andy Beshear dalam satu mesyuarat kecemasan. – AFP