KUCHING: Satu kes rabies melibatkan seekor anjing liar dicatatkan di Bintulu pada minggu lepas.
Menurut Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, dalam sesi ‘Shall WEE Talk’ di Facebook semalam, menjelaskan bahawa anjing liar tersebut telah berjaya ditangkap.
Beliau mengingatkan pemilik anjing dan kucing supaya menjaga haiwan peliharaan mereka dengan baik serta memastikan haiwan tersebut diberikan suntikan vaksin antirabies.
Dalam perkembangan lain, mengenai isu aduan penutupan jalan di kawasan The Northbank, Wee turut mencadangkan agar pihak yang bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian supaya dapat memberi manfaat kepada semua orang.
Menurut Wee, pihak yang bertanggungjawab perlu mengadakan sesi dialog bersama komuniti setempat sebelum membuat keputusan menutup jalan, dan tidak hanya mengumumkannya di media sosial.
“Keputusan boleh diumumkan melalui Facebook, tetapi mesej yang jelas perlu disampaikan kepada orang ramai, terutamanya mereka yang terjejas,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa MBKS tidak mempunyai kuasa ke atas pelaksana projek iaitu Sarawak Metro Sdn Bhd dan memandangkan jalan tersebut berada dalam kawasan MBKS, pihaknya seharusnya dimaklumkan.
Terdahulu, Sarawak Metro telah mengumumkan penutupan jalan kekal melibatkan persimpangan belok kiri ke Ibu Pejabat Ibraco dan kedua-dua lorong dari pejabat itu ke kawasan The Northbank iaitu berhadapan dengan Avona Residence, di sini.
Penutupan jalan kekal yang bermula pada 26 Disember bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan stesen Transit Aliran Autonomi (ART) sebagai sebahagian dari projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) Fasa 1.