SARIKEI: Seorang lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Pan Borneo, Jakar, dekat sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata lelaki berusia 65 tahun itu tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.50 pagi tadi.
“Sepasukan lapan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian pada jarak 11 kilometer dari balai diketuai komander operasi, Hilary Pitre Ambit.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi memaklumkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu dua kenderaan jenis pacuan empat roda dan sebuah Perodua Kembara.
“Seorang mangsa, lelaki, masih tersepit di tempat duduk penumpang hadapan kereta Perodua Kembara.
“Mangsa kemudian berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dikejarkan ke Hospital Sarikei bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya.
Beliau berkata pemandu kedua-dua lelaki dalam kederaan pacuan empat roda berusia 57 dan 31 tahun, tiada mengalami kecederaan.
Katanya, operasi berakhir pada jam 10.50 pagi.