PETRA JAYA: Lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri ini, selain meningkatkan daya tarikan sebagai destinasi utama untuk pelaburan, perniagaan, dan pelancongan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pembinaan lapangan terbang itu akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak kerana ia dianggap sebagai keperluan mendesak untuk memperkukuhkan kedudukan negeri ini di peringkat serantau dan global.
“Lapangan terbang baharu ini akan menjadi nilai tambah kepada ekonomi kita, bukan sahaja untuk merangsang pelancongan, tetapi juga menarik pelaburan dan memudahkan perniagaan antarabangsa. Ia adalah langkah strategik yang amat diperlukan,” katanya dalam perutusannya sempena sambutan Hari Krismas.
Abang Johari turut menjelaskan bahawa lapangan terbang itu akan melengkapkan peranan syarikat penerbangan milik Sarawak yang baharu selepas pengambilalihan MASwings, yang akan bertindak sebagai penghubung utama negeri ini dengan destinasi serantau dan antarabangsa.
“Walaupun menguruskan syarikat penerbangan bukanlah tugas mudah, kita tiada pilihan selain melabur dalam syarikat penerbangan ini untuk memenuhi keperluan dengan model perniagaan kita sendiri.
“Jika kita terus bergantung pada syarikat penerbangan sedia ada, keperluan kita mungkin tidak dapat dipenuhi sepenuhnya.
“Untuk menjadikan Sarawak destinasi pilihan bagi pelancong dan golongan perniagaan, kita perlu mengambil langkah yang berani dan inovatif, termasuk membangunkan infrastruktur dan ekosistem baharu seperti lapangan terbang ini,” katanya.
Abang Johari turut menegaskan bahawa pembinaan lapangan terbang baharu itu adalah sebahagian daripada perancangan strategik kerajaan Sarawak untuk membangunkan aset penting dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Beliau yakin projek ini akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Sarawak untuk mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030, sejajar dengan visi pembangunan jangka panjang negeri ini.
“Tidak dinafikan, kita mesti bekerja lebih keras untuk memastikan kejayaan projek ini dan tidak membiarkan elemen-elemen luar yang cuba melemahkan semangat kita untuk maju ke hadapan.
“Inilah masanya untuk kita, rakyat Sarawak, berdiri teguh dan bersatu dalam usaha menentukan masa depan negeri kita. Lapangan terbang ini bukan sekadar infrastruktur, tetapi simbol keberanian dan tekad kita untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Premier Sarawak turut menasihati rakyat agar terus menyokong usaha kerajaan negeri dalam membangunkan projek berskala besar yang bakal memberi manfaat besar kepada generasi akan datang.
Oleh SHAHRUL QAIZAT