KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) komited mempergiat usaha menangani banjir kilat di 18 kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi kerap terjejas, khususnya semasa musim monsun.
Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman, menyatakan bahawa antara kawasan utama yang diberi perhatian adalah Jalan Tun Ahmad Zaidi, Lorong Kamaliat, Lebuh Cloud Estate, Jalan Pinang Jawa, Taman Million, dan Kampung Pasir Pandak.
“Dalam tiga bulan terakhir, DBKU telah melaksanakan kerja penyelenggaraan perparitan secara intensif untuk memastikan aliran air lebih lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Lawatan Ke Persediaan Banjir Operasi Pengurusan Bencana Banjir di DEPO @ DBKU, hari ini.
Menurutnya, DBKU turut menjalankan pemantauan berkala bagi mengenal pasti punca masalah dan menyediakan penyelesaian jangka panjang.
“Kami bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) untuk melaksanakan penyelesaian teknikal seperti pembaikan sistem perparitan dan pemasangan pam air di lokasi kritikal,” jelas beliau.
Selain itu, DBKU telah menyiapkan logistik dan peralatan termasuk lori, ‘backhoe loader’ dan lampu bergerak untuk digunakan dalam operasi penyelamatan jika diperlukan.
DBKU berharap usaha ini dapat mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan keselesaan penduduk di kawasan terjejas.
Orang ramai yang ingin melaporkan sebarang isu berkaitan banjir boleh menghubungi hotline di 082-446644 atau WhatsApp ke 016-8864466.
Oleh Shahrul Qaizat