BINTULU: Peranan media dalam memupuk hubungan yang kukuh antara syarikat dan masyarakat adalah amat penting, terutamanya dalam menyampaikan maklumat tepat dan memberi impak positif kepada komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif Samalaju Industrial Port Sdn. Bhd., Sufri Bohari berkata, kejayaan Bintulu Port adalah hasil daripada kerjasama yang erat dengan media yang memainkan peranan sebagai jambatan utama dalam menyampaikan informasi kepada masyarakat.
Menurutnya, kesemua pencapaian selama ini tidak mungkin dapat dikongsi dan dizahirkan kepada masyarakat tanpa peranan besar daripada pihak media yang bertungkus-lumus menyampaikan maklumat secara tepat dan bertanggungjawab.
“Media bukan sekadar perantara. Anda adalah jambatan utama antara Bintulu Port dan masyarakat.
“Peranan anda dalam menyampaikan cerita kejayaan kami, fungsi syarikat, dan sumbangan kami kepada komuniti tempatan adalah amat signifikan.
“Malah, penyampaian maklumat yang tepat dan jelas amat penting bagi mengelakkan salah faham dan mengukuhkan hubungan kami dengan masyarakat,” katanya pada Malam Apresiasi Media Bintulu Port di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Beliau turut menghargai peranan media dalam menyampaikan maklumat yang jelas, sekali gus membantu membentuk persepsi yang positif terhadap organisasi dan hubungan yang lebih erat dengan masyarakat.
“Kami berbangga dengan hubungan akrab ini dan berharap terus bekerjasama dengan media dalam mencapai matlamat kami untuk memberi impak positif kepada masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Bintulu, Pauline Sating berkata, program seperti itu adalah platform penting untuk memperkukuh sinergi antara media dan organisasi, terutamanya dalam memastikan maklumat disampaikan kepada masyarakat sentiasa sahih dan berimpak.
“Dalam era maklumat di hujung jari, tanggungjawab kita sebagai pengamal media adalah menapis dan memastikan fakta sebelum ia sampai kepada masyarakat.
“Ketelusan maklumat adalah asas utama dalam membentuk persepsi masyarakat yang betul terhadap organisasi seperti Bintulu Port,” katanya.
Tambahnya, media adalah sebahagian daripada rangka strategik pembangunan komuniti, terutamanya melalui program yang telah dilaksanakan bersama Bintulu Port sebelum ini.
“Kerjasama dengan Bintulu Port tidak hanya bermanfaat kepada media, tetapi memberi impak langsung kepada komuniti setempat. Kita berharap lebih banyak peluang kolaborasi diwujudkan pada tahun hadapan demi manfaat bersama,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih