LUNDU: Masyarakat di sekitar Kampung Trusan Jaya menarik nafas lega apabila proses menaik taraf sembilan titian kayu kepada konkrit bagi menyediakan jalan perhubungan yang lebih baik di kawasan tersebut hampir siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, beliau berpuas hati dengan kemajuan projek tersebut apabila telah siap 80 peratus.
”Tarikh jangkaan pelaksanaan projek adalah selama 12 bulan bermula 9 Julai 2024 hingga 9 Julai 2025 tetapi telah menunjukkan kemajuan yang besar iaitu 80 peratus.
”Projek ini dipertanggungjawabkan kepada kontraktor Edaran Venture Sdn Bhd di bawah Agensi Pelaksana iaitu Majlis Daerah Lundu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian Menaik Taraf Jalan Titi Kayu Kepada Konkrit Di Kawasan Tanjong Datu di Kampung Trusan Jaya Sematan, baru-baru ini.
Sementara itu, katanya, sebanyak lima buah kampung lagi akan mendapat manfaat daripada projek itu iaitu iaitu Kampung Sekambal Lundu, Kampung Stunggang Melayu dan Kampung Stunggang Melayu Baru, Kampung Sileng Dayak dan Kampung Sungai Lundu.
”Kita amat komited untuk menyelesaikan masalah infrastruktur asas di DUN Tanjong Datu pada penggal pertama saya menjadi ADUN sebelum pergi ke fasa seterusnya iaitu ekonomi.
”Sekiranya terdapat sebarang keperluan infrastruktur asas di kampung-kampung sama ada di zon Sematan, Lundu dan Sampadi boleh mengutarakan masalah tersebut ke Pusat Khidmat Tanjong Datu agar jalan penyelesaian dapat dibincang bersama.
”Bagaimanapun, ia mesti permohonan komuniti dan bukan individu,” tambahnya.
Hadir sama, Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusup Awang Mostapha, Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Norashikin Brahim, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Lundu, Kaunselor Abdul Razak Abdul Wahab dan Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sematan, Mohd Ameerullah Roslan.