LIMBANG: Pemberian kadar inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan, FLYsiswa yang dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 seorang bermula 1 Januari depan mampu meringankan beban golongan pelajar yang berdepan harga tiket mahal.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata berkata pelajar Sarawak yang belajar di Semenanjung boleh mengatur percutian awal khususnya ketika musim perayaan Krismas, Tahun Baru Cina, Hari Raya, Gawai dan perayaan lain.
Beliau berkata langkah itu adalah antara ikhtiar kerajaan dalam meringankan beban mahasiswa dari Sabah, Sarawak dan Labuan yang berdepan isu tiket penerbangan yang agak tinggi apabila ingin pulang ke negeri masing-masing.
“Sebab itu kita bagi bantuan menerusi FLYsiswa dan untuk tahun hadapan, kita naik kepada RM400 daripada RM300 sebelum ini.
“Pelajar-pelajar Sarawka boleh pengatur perjalanan untuk pulang bercuti lebih awal pada musim perayaan ini,” katanya kepada media selepas sambutan majlis Pra Krismas N80 Batu Danau di Dewan Suarah Limbang, hari ini.
Turut sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang.
Diperkenal pada 2023, FLYsiswa ialah bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pelajar matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru di bawah Kementerian Pendidikan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang menambah lagi kerajaan juga melanjutkan pemberian subsidi bagi menjayakan inisiatif kadar tambang penerbangan maksimum sebanyak RM499 pada musim perayaan, daripada tiga kepada empat hari bermula Krismas ini.
Jelasnya, inisiatif itu terpakai bagi perayaan-perayaan pada tahun hadapan untuk penerbangan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
Oleh Adeng Edrus