ROBAN: Masyarakat Roban terutamanya sangat beruntung kerana ditadbir di bawah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus berkata, gabungan tiga ADUN tersebut akan merancakkan segala pembangunan dan boleh duduk bersama membincangkan setiap perancangan bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Itulah kelebihan masyarakat di Roban kerana dipimpin oleh tiga ADUN, dimana mereka dapat merancang pembangunan dengan lebih berkesan di bawah kerajaan GPS, terutama sekali berkaitan projek pembangunan daripada Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) serta program transformasi luar bandar (RTP),” katanya semasa berucap merasmikan Festival Makanan Roban (RFF) 2024 bertempat di Pentas Utama RFF dekat sini hari ini.
Rosey yang juga ADUN Bekenu berkata daerah kecil Roban juga beruntung di bawah pimpinan ADUN Kalaka, Krian dan Kabong kerana wujudnya BDDA segala projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.
Mengenai penganjuran RFF 2024, beliau mahu setiap masyarakat di Roban memanfaatkan penganjuran yang kali keduanya dianjurkan bagi memberi impak ekonomi kepada penduduk setempat.
“Oleh itu, saya mahu masyarakat dari Roban dan sekitarnya ambillah peluang ini kerana saya percaya penganjuran RFF ini adalah pentas terbaik untuk memajukan sektor sukan, riadah, pelancongan, sosial dan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.
Sementara itu, RFF 2024 kali ini dianjurkan menerusi kerjasama tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kalaka, Krian dan Kabong memandangkan kawasan Roban terletak di persilangan tiga kawasan DUN tersebut.
ADUN Kalaka, Mohamad Duri berkata, RFF 2024 merupakan satu festival yang berperanan besar dalam pembangunan dan perpaduan dalam kalangan penduduk di daerah Saratok dan sekitarnya.
“Festival ini juga merupakan landasan positif untuk membangun dan menggiatkan lagi sektor sosio ekonomi golongan peniaga dan penjaja tempatan. Kita bakal melihat kebanjiran pengunjung dari dalam dan luar daerah kecil Roban di setiap acara dan venue program pada festival ini,” katanya.
Mohamad Duri berkata, bagi acara kemuncak pada RFF 2024 ini iaitu perebutan Raja Sungai Seblak dalam acara lumba perahu Gaya Sambas melibatkan bidar 10 pekayuh.
Antara lain, penganjuran aktiviti RFF 2024 ialah Pekan Sari Roban, pameran dan jualan seni kraf tangan, replika rumah panjang tradisi, mini pesta ria, persembahan tarian etnik Silang Budaya, pansuh 3 serumpun.
Selain itu, turut diadakan pertandingan Seri Kumang Roban, pertandingan persembahan tarian etnik Roban, Ratu Etnik Roban, jaguh tarik tali atas air Sungai Seblak Roban dan pertandingan lumba perahu Sungai Seblak.
Turut hadir, ADUN Krian Friday Belik, Pegawai Daerah Kabong Tahir Sharee dan Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban Steve Miller.
Oleh Adi Safarman