SIBU: Sebanyak 23 gereja dan dua tokong dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan menerima hadiah ‘Krismas’ berjumlah RM125,000 daripada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie telah menyerahkan cek peruntukan tersebut kepada wakil gereja dan tokong penerima pada majlis ringkas yang berlangsung di Ibu Pejabat SUPP Sibu, Jalan Kampung Datu, hari ini. Semua gereja dan tokong penerima masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM5,000.
Berucap pada majlis tersebut, Kaunselor Lau memberitahu bahawa beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Dr Sim pada Oktober lalu, bagi membincangkan pelbagai isu di Bawang Assan.
“Pada masa sama, saya berbincang dengan beliau (Dr Sim) untuk mendapatkan sedikit sebanyak peruntukan untuk kawasan kita.
“Pada masa itu, kita rasa yang paling sesuai untuk disalurkan peruntukan ini adalah kepada gereja dan kuil, disebabkan tempat ibadat tersebut memainkan peranan penting untuk merapatkan hubungan di kalangan komuniti di kalangan anda,” katanya.
Kaunselor Lau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) berterima kasih kepada gereja dan tokong kerana telah menghulurkan bantuan, memberikan rasa prihatin dan menjaga penduduk di kawasan masing-masing.
“Oleh sebab itu, kami mengucapkan terima kasih atas usaha anda semua dan kita juga ingin memainkan peranan masing-masing untuk bersama-sama terus membina satu masyarakat yang lebih aman dan yang lebih harmoni. Ini impian daripada kita dan itu juga satu nilai sejagat kita.
“Saya harap pada tahun akan datang, saya akan cuba sekali lagi, kalau boleh saya hendak cuba sekali lagi meminta peruntukan daripada Timbalan Premier untuk disalurkan kepada gereja, tidak kira gereja Methodist atau Katolik, tapi yang pentingnya kita cuba salurkan kepada setiap kawasan di Bawang Assan,” katanya.
Beliau memohon maaf disebabkan peruntukan terhad tidak dapat meliputi semua tempat ibadat.
“Kita cuba dengan sedaya upaya melalui usaha untuk mendapatkan peruntukan ini. Saya mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua,” kata beliau.
Oleh Akun Giman