SIBU: Pusat Khidmat Parlimen Lanang melancarkan “Program Sayangi Lanang: Skim Lindung Kasih P211 Lanang” bagi menyediakan perlindungan keselamatan kepada suri rumah di kawasan Parlimen Lanang.
Program tersebut menawarkan perlindungan melalui Skim Keselamatan Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), yang bertujuan melindungi suri rumah daripada risiko kemalangan atau insiden semasa menjalankan tugas rumah tangga.
Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau berkata, program ini merupakan inisiatif untuk menjaga kebajikan suri rumah sebagai golongan yang sering terdedah kepada risiko ketika melaksanakan tugas harian.
“Kami mahu memastikan suri rumah turut mendapat perlindungan sewajarnya, walaupun ketika mereka berada di rumah.
“Dengan subsidi ini, kami berharap lebih ramai suri rumah dapat menyertai skim ini untuk memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya.
Melalui subsidi yang ditawarkan, suri rumah yang layak hanya perlu membayar RM20 untuk menikmati perlindungan selama 12 bulan, berbanding kos asal sebanyak RM120 setahun.
Lau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, suri rumah yang layak adalah digalakkan untuk memanfaatkan peluang ini demi kesejahteraan mereka dan keluarga.
“Orang ramai yang berminat hendaklah merupakan pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Lanang,” katanya.
Selain itu, pemohon juga perlu berumur di bawah 55 tahun atau belum mencapai usia 54 tahun pada tarikh sumbangan pertama kepada SKSSR.
Justeru, orang ramai yang berminat boleh hadir ke Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lanang, No. 2, Lorong Lanang 82, di sini, bersama MyKad untuk membuat permohonan.
Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi talian berikut 010-3908211, 010-3998211, 084-336671.
Oleh Akun Giman