SIBU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, secara rasmi diisytiharkan sebagai Canselor Kedua Universiti Teknologi Sarawak (UTS) hari ini.
Watikah pemasyhuran tersebut dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Datuk Dr Annuar Rapaee, sempena Majlis Konvokesyen Kesembilan UTS, menggantikan Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
“Saya berbesar hati untuk mengumumkan secara rasmi pelantikan Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Canselor Kedua Universiti Teknologi Sarawak.
“Semoga Allah merahmati Canselor dan membimbing kita semua dalam perjalanan kolektif mencapai kejayaan,” katanya.
Dilahirkan pada 1 Februari 1946 di Kampung Pendam, Sarawak, Tun Wan Junaidi telah mengukir nama sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dalam pelbagai bidang, termasuk perkhidmatan awam, perundangan, dan politik.
Pada usia 17 tahun, beliau memulakan kerjaya dengan Jabatan Kerja Raya sebelum menyertai Sarawak Constabulary, di mana beliau memainkan peranan penting dalam menghadapi ancaman komunis.
Tun kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Buckingham dan Lincoln’s Inn, sebelum menjadi seorang peguam dan terlibat secara aktif dalam politik sejak 1983.
Sepanjang kerjayanya, beliau dikenali sebagai pemimpin berprinsip yang membawa banyak pembaharuan, termasuk mengetuai usaha Malaysia meratifikasi Perjanjian Paris dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pelantikan beliau sebagai Speaker Dewan Negara ke-19 pada Jun 2023 mengukuhkan lagi sumbangannya dalam memperjuangkan reformasi parlimen serta memperkenalkan dasar-dasar baru yang membawa manfaat kepada negara.
Sehubungan itu, Dr. Annuar menyatakan keyakinannya bahawa pengalaman dan visi Tun Wan Junaidi akan membawa transformasi besar kepada UTS.
“Visi Tun Wan Junaidi untuk Sarawak yang mampan, berteraskan teknologi dan intelek, sejajar dengan misi universiti ini.
“Di bawah kepimpinannya, UTS berazam untuk melahirkan pemimpin yang dapat mempelopori kemajuan dalam teknologi hijau, tenaga mampan, dan transformasi digital demi memastikan kemakmuran Sarawak di pentas global,” katanya.
Beliau juga optimis bahawa UTS akan terus berkembang pesat di bawah bimbingan Tun Wan Junaidi, bukan sahaja sebagai sebuah institusi pendidikan terkemuka di Sarawak tetapi juga sebagai pemain utama di peringkat antarabangsa.
“Dengan pandangan beliau yang jauh ke hadapan, UTS bersedia melangkah ke tahap kecemerlangan baru, mencapai status sebagai universiti bertaraf dunia,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting