KUALA LUMPUR: Kecederaan buku lali kanan memaksa pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, melupakan hasrat memburu gelaran juara di Jelajah Akhir Dunia BWF 2024 selepas menarik diri ketika perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A di Hangzhou, China, hari ini.
Pada aksi di Gimnasium Olimpik Hangzhou, pemain nombor lapan dunia dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu terpaksa membuat keputusan tersebut ketika mendahului 15-11 menentang wakil tuan rumah Li Shi Feng.
Dalam pada itu, Team LZJ dalam laman X memaklumkan Zii Jia sedang mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan dan beliau keluar gelanggang dengan menggunakan kerusi roda.
“Penyertaan Lee Zii Jia di #BWFWorldTourFinals2024 terpaksa berakhir disebabkan kecederaan buku lali kanan,” menurut kenyataan itu.
Keputusan menarik diri itu menyaksikan kemenangannya dalam dua perlawanan awal sebelum ini ke atas jaguh Taiwan Chou Tien Chen dan Anders Antonsen dari Denmark, di mana beliau sudah pun mengesahkan tempatnya ke separuh akhir dibatalkan.
Sementara itu, beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berjaya mengesahkan slot separuh akhir apabila mengejutkan pemenang pingat emas Olimpik Paris 2024, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan, 24-22, 21-12.
Pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A, gandingan nombor tujuh dunia itu mengambil masa 42 minit untuk mencapai kemenangan straight set, sekali gus muncul naib juara kumpulan.
Beregu negara itu akan mengiringi juara kumpulan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark ke pentas separuh akhir.– BERNAMA