KUCHING: Tay Motors bekerjasama dengan Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi menganjurkan kempen derma darah, selama dua hari bermula esok.
Tabung Darah HUS menerusi satu hantaran Facebook berkata kempen derma darah anjuran Tay Motors itu akan berlangsung di Tabung Darah, HUS.
”Kempen tersebut dijadualkan bermula dari 9.00 pagi hingga 2.00 petang selama dua hari dari 14 hingga 15 Disember ini.
”Jangan lupa untuk membawa kad pengenalan dan buku pendermaan jika ada, makan sebelum menderma dan mendapat tidur yang cukup sekurang-kurangnya lima jam.
”Bagi yang dah cukup tempoh pendermaan, teruskan menderma darah bagi memastikan stok darah sentiasa di paras yang selamat,” menurut hantaran itu.
Sementara itu, Tabung Darah HUS menerusi hantaran lain memberitahu pihak hospital memerlukan darah jenis O positif (O+) dalam keadaan yang segera.
Bagaimanapun, katanya dalam ruangan komen, pihaknya juga menerima penderma darah lain yang berhasrat untuk menderma darah.