BELADIN: Sekitar 10,000 pengunjung telah hadir meriahkan Duo 2 Festival yang berlangsung selama lima hari di Dataran Temenggong Kadir, Beladin baru-baru ini.
Menurut penganjur, Casner Duchavy program tersebut adalah berkonsepkan hiburan selain menampilkan jualan makanan dan minuman, barangan kosmetik, pakaian serta pelbagai aktiviti menarik untuk setiap pengunjung yang hadir.
Katanya, penampilan beberapa artis yang membuat persembahan pada setiap malam turut memeriahkan suasana di Dataran Temenggong Kadir sekali gus berupaya menarik kehadiran pengunjung dari Kampung Pusa, Maludam, Semarang serta beberapa kampung berdekatan lain.
“Selaku pihak penganjur, saya sangat berterima kasih kepada penduduk Kampung Beladin dan kampung sekitarnya yang sentiasa memenuhi tapak festival sepanjang lima hari program dilangsungkan.
“Malah kehadiran artis-artis jemputan yang membuat persembahan pada setiap malam turut menghangatkan suasana di Dataran Temenggong Kadir Beladin dengan dianggarkan sekitar 3,000 pengunjung pada satu masa,” kata Casner.
Katanya, antara artis-artis yang membuat persembahan ialah Shidi Data, Jijam Terarosa, Maxwell Franklin Saran, Lucy M, Casner Jobie, Kumpulan Silent Killer dan penyanyi dari Indonesia iaitu Cyntia dan Naila Sari.
“Selain menampilkan artis, pengunjung turut diberi peluang menyertai acara seperti pertandingan karaoke, tarian poco-poco serta aktiviti fesyen pakaian dan melukis untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.
“Sambutan sangat menggalakkan dan pihak kami merancang untuk mengadakan festival ini sebagai acara tahunan di Kampung Beladin pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, rakan kerjasama penganjur Khusairi Johari memberitahu program tersebut akan turut diadakan di Kabong bermula 18 hingga 22 Disember ini dan di Esplanade Bintulu pada 27 hingga 31 Disember sempena sambutan ambang tahun baharu.
‘Insya-Allah…festival ini turut diadakan di Kabong dan Bintulu dengan menampilkan beberapa artis seperti Kumpulan Screen dan Lestari serta artis tempatan lain,” ujar beliau.
Oleh Mahdar Bujang