KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran meningkat tengah hari ini dengan aktiviti pembelian yang berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih terutamanya melibatkan sektor utiliti, produk dan perkhidmatan perindustrian.
Pada 12.30 tengah hari, FBM KLCI meningkat 6.94 mata atau 0.43 peratus kepada 1,609.02 daripada 1,602.08 semasa ditutup semalam, selepas dibuka 1.78 mata lebih tinggi kepada 1,603.86.
Indeks itu bergerak antara 1,603.74 dan 1,610.06 sepanjang sesi dagangan pagi.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 455 berbanding 443 manakala 481 kaunter tidak berubah, 1,122 tidak diniagakan dan 44 yang lain digantung dagangan.
Tenaga Nasional menambah 22 sen kepada RM13.78, Press Metal Aluminium meningkat 11 sen kepada RM5.06, dan Sunway menokok 13 sen kepada RM4.73, dengan saham-saham ini mendorong indeks komposit meningkat dengan gabungan 5.10 mata.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata, berikutan pelancaran makmal kecerdasan buatan (AI) oleh YTL Power International yang dikenali sebagai Ilmu 0.1, peluang perdagangan mungkin terus dinikmati kaunter berkaitan YTL dan AI seperti Nationgate Holdings Bhd.
“Sementara itu, peniaga boleh memberikan tumpuan kepada industri pertengahan pusat data menerusi sektor teknologi seperti penyelesaian teknologi maklumat, keselamatan siber, pemacu cakera keras, perkhidmatan pembuatan elektronik, dan pemasangan dan ujian semikonduktor sumber luar.
“Kami memilih kaunter berkaitan Malaysia Timur berikutan pemulihan harga sahamnya dan lebih banyak tawaran awam permulaan yang akan dilihat dalam tempoh terdekat,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, MISC meningkat 12 sen kepada RM7.52, YTL Corporation menokok 4.0 sen kepada RM2.17, Telekom Malaysia naik 10 sen kepada RM6.72 manakala Axiata dan SD Guthrie masing-masing susut 4.0 sen kepada RM2.32 dan RM4.96.
Bagi saham aktif, Top Glove naik 4.0 sen kepada RM1.36, Green Ocean naik setengah sen kepada 17.5 sen, JF Technology mengukuh 8.0 sen kepada 78.5 sen dan Tanco menokok 3.0 sen kepada RM1.69 manakala Datasonic tidak berubah pada 43 sen.
Di pasaran lebih luas, Indeks FBM 70 menokok 88.77 mata kepada 18,483.82, Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 70.56 mata kepada 12,338.20 dan Indeks FBM Emas meningkat 51.53 mata kepada 12,338.08.
Indeks FBMT 100 pula menambah 53.57 mata kepada 12,021.61 manakala Indeks FBM ACE susut 20.77 mata kepada 5,288.06.
Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.97 mata kepada 175.66, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 26.97 mata kepada 19,129.09, Indeks Tenaga rendah 5.32 mata kepada 818.83 dan Indeks Perladangan merosot 21.36 mata kepada 7,632.94. – Bernama