SIBU: Kerinduan 13 prospek Penjara Pusat Sibu terhadap ahli keluarga yang sudah lama tidak bersua terubat apabila mereka dipertemukan dalam Program Jalinan Kasih sempena Krismas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek telah merasmikan program tersebut.
Ini adalah lawatan pertama beliau ke Penjara Pusat Sibu dalam meraikan sambutan Hari Krismas bersama prospek, ahli keluarga dan juga kakitangan Penjara Pusat Sibu.
Menurut Pengarah Penjara Pusat Sibu PKP Mohd Rusli Abd Rahman, program ini adalah aktiviti rutin setiap kali menjelangnya perayaan bagi memberi peluang kepada prospek dan ahli keluarga bertemu secara bersemuka bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Seramai 13 prospek terpilih pada kali ini dan 13 daripada keluarga prospek termasuk dari Kuching, Sibu dan sekitar Sarawak hadir bagi meraikan majlis bersama-sama,” katanya.
Beliau memberitahu, program ini adalah berbeza dan lebih istimewa berbanding program lain.
“Prospek boleh bersemuka dengan ahli keluarga, ibu, bapa anak dan isteri berbanding kebiasaannya melalui interkom atau panggilan telefon seperti program rutin yang diberi di penjara,” kata beliau.
Dalam pada itu, Chieng berkata, kehadiran 13 keluarga prospek pada program itu melambangkan harapan dan ketahanan yang penting dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Penjara Pusat Sibu atas dedikasi mereka dalam menganjurkan program ini.
“Program ini merupakan langkah penting dalam proses rehabilitasi penghuni dan menyokong keharmonian negeri Sarawak,” katanya.
Beliau turut mempromosikan Civilized Humane Culture Development Centre (CHCDC) yang diperkenalkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.
“Saya juga menghargai usaha Penjara Pusat Sibu dalam mencari majikan untuk Program Corporate Smart Intership, untuk memberi peluang pekerjaan kepada prospek selepas dibebaskan,” katanya lagi.
Menurutnya, program ini bertujuan untuk menyediakan latihan dan pembangunan kemahiran bagi mereka yang dibebaskan dari penjara.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Prison Fellowship Malaysia dan Sarawak Chinese Annual Conference atas sumbangan dan sokongan mereka dalam program rehabilitasi.
“Sumbangan ini sangat berharga dan bersama-sama kita membina semangat komunitiyang mendorong harapan serta transformasi di kalangan penghuni,” katanya lagi.
Beliau turut menyumbangkan sebanyak RM5,000 masing-masing kepada dua pertubuhan tersebut bagi meneruskan usaha membantu prospek Penjara Pusat Sibu melalui pendekatan humanistik.
Turut hadir, Pegerusi Prison Fellowship Malaysia Cawangan Sibu Jeffry Ngu dan Pengerusi Sarawak Chinese Annual Conference Cawangan Sibu Wong Lik Chiong serta rombongan masing-masing.
Oleh Akun Giman