PETRA JAYA: Sarawak bakal mencipta sejarah apabila menjadi tuan rumah buat julung kalinya bagi Piala Dunia Kriket Wanita T20 Bawah-19 tahun dari 18 hingga 28 Januari 2025 di Borneo Cricket Ground, Petra Jaya, di sini.
Lebih membanggakan, kesemua perlawanan di sini akan disiarkan secara langsung ke lebih 180 negara melalui saluran Star Sports dan platform rasmi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC), sekali gus memberikan pendedahan global kepada Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan ICC memilih Sarawak sebagai lokasi kejohanan ini dibuat selepas lawatan pada Ogos 2024 oleh Pengurus Kanan Acara ICC, Sarah Edgar, dan Presiden Persatuan Kriket Malaysia, Iqbal Ali.
Katanya, mereka amat kagum dengan persediaan dan pelaburan yang dibuat oleh kerajaan Sarawak, terutama dalam pembinaan Borneo Cricket Ground, padang kriket bertaraf antarabangsa pertama di Borneo.
“Ini merupakan pengiktirafan besar buat Sarawak dan Borneo, kerana buat kali pertama ICC meluluskan acara antarabangsa di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Piala Dunia Kriket Wanita T20 Bawah-19 tahun (Peringkat Kelayakan) di pejabatnya di sini hari ini.
Sebanyak 10 daripada 42 perlawanan kejohanan akan berlangsung di Sarawak termasuk pusingan awal Kumpulan C (melibatkan pasukan New Zealand, Afrika Selatan, Nigeria, dan Samoa) serta perlawanan ‘Super Six’ yang melibatkan pasukan terbaik dari kumpulan B dan C.
Kesemua perlawanan ini akan disiarkan secara langsung ke lebih 180 negara melalui saluran Star Sports dan platform rasmi ICC, memberikan pendedahan global kepada Sarawak.
Abdul Karim berkata kejohanan ini juga dilihat sebagai peluang keemasan untuk mempromosikan pelancongan Sarawak kepada komuniti sukan antarabangsa.
Selain itu, Sarawak juga akan menawarkan pengalaman pelancongan unik kepada pemain dan pasukan termasuk lawatan ke Pusat Rehabilitasi Orang Utan Semenggoh, Muzium Budaya Borneo serta lawatan bandar Kuching.
Acara ini turut dimeriahkan dengan ‘Nyamai x Cricket World Cup Edition’, sebuah pavilion makanan yang mempamerkan warisan gastronomi dan kraftangan tradisional Sarawak.
Lebih membanggakan, Sarawak turut menyumbang kepada pasukan kebangsaan Malaysia apabila pemain muda tempatan, Nur Dania Syuhada, dipilih sebagai kapten pasukan Malaysia dalam kejohanan ini.
Pasukan Malaysia yang berada dalam Kumpulan A bersama India, Sri Lanka, dan West Indies akan bertanding di Kuala Lumpur.
“Dengan sokongan semua pihak, kami yakin kejohanan ini akan berlangsung dengan jayanya dan memperkenalkan keramahan Sarawak kepada dunia.
“Ini bukan sahaja satu penghormatan buat Sarawak, tetapi juga peluang besar untuk mengukuhkan nama negeri ini di pentas global. Semua pihak diundang untuk memeriahkan acara dan menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan wanita kriket terbaik dunia,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hi Chang Kee; Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Morshidi Federick; Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak, Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Desmond Jerukan.