GIRONA, Sepanyol: Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker bertindak cemerlang sekembalinya daripada kecederaan ketika menang aksi Liga Juara-Juara di Girona awal pagi tadi dan pengurus Arne Slot memuji pemain dari Brazil itu yang memainkan peranan penting mengekalkan rekod sempurna mereka.
Alisson berehat kerana kecederaan hamstring sejak 5 Oktober lalu dan ketika penggantinya Caoimhin Kelleher memukau sejak ketiadaannya, Alisson membuktikan betapa dia pilihan utama bagi Slot dengan beberapa tindakan penyelamat sebelum sepakan penalti Mohamed Salah membantu kemenangan Liverpool.
“Jelas sekali Alisson tidak kelihatan seperti dia diketepikan selama dua bulan,” kata Slot.
“Saya berseloroh dengan pemain mungkin mereka mahu melihat tahap kesediaannya kerana mereka membiarkan dia melakukan banyak tindakan penyelamat.
“Tetapi dia membuktikan kenapa saya sering kali menyatakan dia adalah penjaga gol nombor satu kami.”
Pertahanan Liverpool, Andy Robertson turut memuji penjaga golnya tetapi tidak gembira dengan banyak peluang yang diberikan mereka kepada Girona, dengan Alisson menggagalkan percubaan Alejandro Frances dan Miguel Gutierrez pada babak pertama.
“Dia sudah berehat terlalu lama jadi mungkin kami mahu lihat sama ada dia berkarat atau tidak dan pastinya dia tidak,” kata Robertson.
“Namun kami perlu lebih banyak mengawal. Kami tidak boleh memberikan terlalu banyak ruang, kami perlu menekan lebih agresif dan bertindak lebih baik lagi. Terutamanya pada babak pertama, ia jelas tidak mencerminkan permainan sebenar kami.”
Slot turut memuji lawan, yang benar-benar mencetus masalah buat Liverpool tetapi akhirnya kecundang kali kelima dalam enam perlawanan, terima kasih kepada sumbangan Alisson.
“Saya agak bersimpati dengan Girona, mereka satu pasukan berkualiti tinggi dan mereka berhak lebih daripada tiga mata yang mereka kumpul setakat ini,” kata Slot.
“Mereka benar-benar ada satu perancangan permainan yang bagus hari ini tetapi kami benar-benar ada penjaga gol yang amat bagus.”