ANKARA/DAMSYIK: Rejim Baath yang telah memerintah Syria selama 61 tahun tumbang pada Ahad apabila ibu negara, Damsyik, jatuh daripada kawalan rejim, lapor Agensi Anadolu.
Parti Sosialis Arab Baath mula berkuasa di Syria pada 1963 melalui satu rampasan kuasa.
Pada 1970, Hafez al-Assad – bapa kepada Bashar al-Assad, pemimpin Syria yang baru digulingkan, mengambil alih kuasa melalui rampasan kuasa dalaman parti dan menjadi presiden pada 1971.
Selepas kematian Hafez pada 2000, Bashar al-Assad meneruskan pemerintahan rejim Baath.
Kejatuhan rejim Assad dan Baath berlaku apabila kumpulan anti-rejim memasuki Damsyik , menjadi kemuncak kepada perkembangan dramatik sejak akhir bulan lepas.
Gerakan rakyat yang menuntut kebebasan bermula di Syria pada 2011, namun rejim itu bertindak ganas terhadap aktivis yang mahukan perubahan.
Campur tangan rejim, yang mengakibatkan ribuan nyawa terkorban, mencetuskan perang saudara.
Sementara kumpulan penentang bersenjata meneruskan perjuangan panjang, rejim enggan menyelesaikan konflik secara diplomatik atau melalui cara damai, meskipun terdapat tekanan antarabangsa dan serantau.
Selepas pertempuran sengit bermula 27 Nov, rejim kehilangan kawalan ke atas banyak kawasan, termasuk Aleppo, Idlib, dan Hama.
Akhirnya, apabila rakyat memenuhi jalan-jalan di Damsyik, pasukan rejim mula berundur daripada institusi awam dan kawasan utama, manakala kumpulan anti-rejim mengukuhkan penguasaan mereka ke atas pusat bandar.
Dengan pasukan Assad kehilangan kawalan ke atas ibu negara, usia 61 tahun pemerintahan rejim Baath dan 53 tahun pemerintahan keluarga Assad berakhir.
Dalam mesej video di media sosial, Perdana Menteri Kerajaan Bashar al-Assad, Mohammad Ghazi al-Jalali menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu yang dipilih oleh rakyat Syria serta memberikan sokongan penuh.
Beliau turut menyeru agar harta awam tidak dimusnahkan dan berkata: “Kami menghulurkan tangan kepada pihak pembangkang yang telah menyatakan mereka tidak akan mencederakan sesiapa dan turut menghulurkan tangan kepada kami.”
“Syria milik semua rakyat Syria. Negara ini boleh menjadi negara biasa dan menjalinkan hubungan baik dengan jiran dan dunia,” katanya.
“Pilihan ini bergantung pada kerajaan yang akan dipilih oleh rakyat Syria. Kami sedia bekerjasama dengan kerajaan baharu yang dipilih, menyediakan segala bentuk sokongan, dan memindahkan fail-fail kerajaan dengan mudah kepada mereka.”
Ketua kumpulan bersenjata anti-rejim Hayat Tahrir al-Sham (HTS), Abu Mohammad al-Jolani, mengeluarkan amaran keras terhadap sebarang tindakan terhadap institusi awam di Damsyik.
“Institusi-institusi ini akan kekal di bawah pengawasan perdana menteri terdahulu sehingga ia diserahkan secara rasmi,” katanya di media sosial sambil menegaskan bahawa menembak ke udara juga adalah dilarang sama sekali.
Pertempuran antara pasukan rejim Assad dan kumpulan bersenjata anti-rejim bermula pada 27 Nov di kawasan luar bandar barat Aleppo, sebuah bandar utama di utara Syria.
Pada 30 Nov, kumpulan anti-rejim menguasai sebahagian besar pusat Aleppo dan seluruh Wilayah Idlib pada hari yang sama. Khamis lepas, kumpulan itu menawan pusat bandar Hama selepas pertempuran sengit, .
Kumpulan anti-rejim turut menawan beberapa penempatan di wilayah strategik Homs, pintu masuk ke Damsyik, dan mula mara ke kawasan itu.
Pada Jumaat, kumpulan pembangkang bersenjata melancarkan operasi di Wilayah Daraa di sempadan Syria-Jordan dan merampas kembali pusat bandar daripada pasukan rejim selepas pertempuran.
Pada Sabtu, seluruh wilayah Suwayda di selatan Syria juga jatuh ke tangan kumpulan pembangkang. Pada hari sama, kumpulan pembangkang tempatan di Quneitra menguasai pusat wilayah berkenaan.
Di Homs, kumpulan anti-rejim mengambil alih pusat wilayah itu pada Sabtu sebelum mara ke Damsyik.
Pasukan rejim turut berundur dari Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, dan lapangan terbang antarabangsa di Damsyik.
Ketika kumpulan bersenjata anti-rejim mula menguasai ibu negara, rejim Assad dengan cepat kehilangan kawalan ke atas Damsyik pada pagi Ahad. – BERNAMA-AA