KUCHING: Institut Pengurusan Sarawak (MASA), sebuah organisasi yang komited kepada pembangunan kepimpinan dan pengurusan di Sarawak, akan membuka Aplikasi Pendaftaran Keahlian Dalam Talian (MRWA) kepada orang awam bermula esok.
Aplikasi ini, yang dibangunkan oleh SOCOE Sdn Bhd dan diintegrasikan sepenuhnya ke dalam laman web MASA, membolehkan individu yang layak mendaftar sebagai ahli MASA secara dalam talian di www.masasarawak.com/membership.
Keahlian MASA menawarkan akses kepada rangkaian sumber yang luas, termasuk jemputan ke persidangan, seminar, bengkel, dan aktiviti lain yang dianjurkan oleh MASA serta rakan kerjasama.
Dalam pada itu, orang awam yang mendapat keahlian itu juga akan menerima buletin berkala dan akses kepada ‘Borneo Management Review’, jurnal atas talian yang ditinjau rakan sebaya oleh MASA untuk mempromosikan amalan pengurusan mampan demi kemakmuran bersama.
Bagi memastikan keselamatan siber dan perlindungan data yang kukuh, MASA telah melaksanakan Pengesahan Pelbagai Faktor (MFA) untuk log masuk ahli secara selamat melalui emel.
Sebagai sebahagian daripada pelancaran aplikasi ini, SOCOE secara simbolik telah mendaftarkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel selaku Presiden MASA, sebagai Ahli #0001 di portal baharu ini.
Dengan pelancaran aplikasi ini, MASA memberi komitmen untuk terus memperjuangkan kepimpinan dan tadbir urus yang baik melalui pelaksanaan inisiatif seperti program latihan, seminar, dan sidang kemuncak, dengan fokus pada bidang pengurusan, sains, teknologi, dan kejuruteraan. -EDISI UKAS