KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah syarikat bergelar ‘datuk’ dan seorang penjawat awam kerana disyaki terlibat rasuah sebagai balasan mendapatkan projek-projek pembinaan di Sarawak bernilai kira-kira RM250 juta.
Menurut sumber SPRM, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40-an dan 50-an itu direman lima hari bermula Khamis hingga 9 Dis ini selepas permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuching, semalam.
Menurut sumber kedua-dua suspek dipercayai berpakat dan berkomplot bagi membolehkan beberapa syarikat mendapat projek pembinaan dikeluarkan pejabat Jabatan Kerja Raya sebuah daerah di Sarawak.
“Mereka dipercayai telah melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2024 sebagai balasan mendapatkan projek-projek pembinaan yang bernilai kira-kira RM250 juta.
“Susulan itu, kedua-dua suspek telah ditahan sekitar pukul 5.30 pagi pada Khamis ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sarawak, selain turut disahkan positif mengambil dadah jenis metamfetamina,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
Beliau tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.
— BERNAMA