PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan ibu bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin untuk menyemak semula pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh bahawa perkara itu telah dimaklumkan kepada peguam baharu yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.
“Hari ini ditetapkan untuk sebutan keputusan representasi. Pihak kami telah rujuk kepada surat representasi yang difailkan peguam terdahulu dan keputusan representasi ditolak,” kata Raja Zaizul Faridah pada prosiding hari ini.
Pada 13 Jun lepas Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12.00 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Raja Zaizul Faridah berkata pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan yang telah dipersetujui kedua-dua pihak (pendakwaan dan pembelaan) iaitu pada 10 Januari, untuk mengemas kini segala dokumen berkaitan kes itu sebelum perbicaraan bermula.
“Cakera padat (CD) berkaitan kes belum diserahkan memandangkan ia masih berada pada pihak forensik. Pihak pendakwaan akan menyerahkan kesemua CD yang dipohon dan dokumen lain jika ada, sebelum tarikh sebutan yang dicadangkan itu,” katanya.
Peguam Haresh Mahadevan mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira berkata selain CD, terdapat juga laporan forensik berkaitan bedah siasat, dan terdapat sampel-sampel diambil daripada jasad si mati bagi tujuan analisis masih belum diserahkan kepada pihak pembelaan.
“Berkaitan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini, kami ingin mohon mahkamah melapangkan tarikh 21 hingga 24 Januari 2025 atas alasan kami mempunyai kes sambung bicara membabitkan seorang pegawai polis.
“Pihak kami telah memaklumkan perkara itu kepada pihak pendakwaan dan tiada bantahan. Kami juga telah mengemas kini tarikh-tarikh lain bagi menggantikan tarikh tersebut,” kata peguam itu.
Syahliza berkata pihak pendakwaan perlu mengemukakan kesemua dokumen termasuk CD dan laporan forensik kepada pihak pembelaan sebelum sebutan kes pada 10 Januari depan.
“Mahkamah melapangkan tarikh perbicaraan pada 20 hingga 24 Januari. Oleh itu, perbicaraan akan bermula pada 3 hingga 7 Februari, 17 hingga 21 Februari dan 10 hingga 14 Mac tahun depan,” katanya.
Ketika ditemui pemberita, Haresh berkata, beliau baru dilantik sebagai peguam Zaim Ikhwan dan Ismanira semalam.
“Kedua-dua anak guam saya mahu bersihkan nama mereka dan akan ‘looking forward’ dengan perbicaraan yang akan bermula Februari tahun depan,” katanya dan menambah representasi itu dikemukakan oleh peguam sebelum ini pada 19 November lepas.
Sementara itu peguam Fahmi Abd Moin ketika dihubungi pemberita berkata beliau tidak lagi mewakili pasangan suami isteri itu pada 4 Disember lepas atas arahan kedua-dua tertuduh.
Pada 6 Disember tahun lepas, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. – Bernama