KUCHING: Peruntukan berjumlah RM48,052 juta telah diluluskan oleh kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA).
Pengerusi SADA, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata daripada jumlah itu, sebanyak sembilan daripada 15 cadangan projek itu telah diluluskan untuk dilaksanakan.
“Antara sembilan projek tersebut iaitu Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) Sri Aman; projek rumah burung Walit; projek infrastruktur (jalan ladang) di Rumah Temiling Ibai, Bintong, Lubok Antu, Kampung Abok di Pantu serta di Rumah Jelema Gimang, Limau, Pantu.
“Selain itu, cadangan pembinaan 50 unit industri kotej di Lot 1661, Block 2, Simanggang Town District, Sri Aman New Township; pengambilan tanah bagi tujuan Pusat Pentadbiran Baharu Pantu; Pusat Maklumat Baharu Batu Lintang dan projek membina Dataran Kejat serta perlindungan tebingan sungai dan kerja-kerja berkaitan di Tebingan Sungai Lingga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu SADA kali keempat 2024 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Rohani berkata, 15 projek tersebut merangkumi sektor pembangunan infrastruktur, pertanian, ekonomi dan sosial telah dibentangkan dengan terperinci oleh agensi pelaksana masing-masing sebelum diputuskan untuk kelulusan.
Dalam pada itu, beliau menambah setakat Disember 2024, dilaporkan sebanyak tujuh buah projek di bawah SADA telah siap pelaksanaannya.
Aantaranya ialah Kampus Sementara Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills) Cawangan Sri Aman; tebatan banjir di kawasan Kejamut (pakej A, B, C dan D); pondok pemerhati orang utan di Kompleks eko-Pelancongan Batang Ai; cadangan pemasangan lampu isyarat di beberapa persimpangan utama sepanjang Jalan Akses Sri Aman.
“Ucapan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di Bahagian Sri Aman kerana telah berusaha bersama-sama Pejabat Residen dan Daerah dan semua agensi pelaksana dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan pelaksanaan projek.
“Dengan wujudnya kerjasama ini, isu pelaksanaan projek dapat diselesaikan dan mendapat persetujuan dari semua pihak yang terlibat,” katanya.
Oleh Adi Safarman