BANDAR RAYA BAGUIO (Filipina): Kerajaan Sarawak komited untuk memperkukuh kerjasama bersama Bandar Raya Baguio khususnya dalam bidang kraf dan industri kreatif, Pelancongan dan warisan budaya.
Komitmen itu dizahirkan menerusi lawatan kerja yang dilakukan Kementerian Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang diketuai Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ke Baguio bermula semalam.
Pada lawatan tersebut, beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Bandar Baguio, Benjamin Magalong.
Kementerian itu menerusi satu kenyataan berkata kunjungan hormat tersebut menekankan potensi besar kerjasama antara Bandaraya Baguio dan Sarawak khususnya dalam bidang kraf dan industri kreatif.
”Kedua-dua Bandar Raya Kuching dan Bandar Baguio berkongsi ikatan istimewa sebagai ahli Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO, iaitu Kuching diiktiraf sebagai Bandar Gastronomi manakala Baguio diiktiraf sebagai Bandar Kesenian dan Kraf Rakyat.
”Persamaan ini menyerlahkan warisan budaya yang kaya di kedua-dua bandar dan juga meletakkan Kuching dan Baguio sebagai hab utama untuk memupuk pertukaran kreatif dan mempromosikan pembangunan bandar yang mampan.
”Kerjasama itu akan membuka jalan kepada pertumbuhan bersama, berkongsi pengetahuan, dan persefahaman yang lebih mendalam antara Bandar Baguio dan Sarawak,” katanya.
Lawatan kerja itu turut meliputi lawatan ke Seni dan Kraf Tenunan Tangan Narda di Kampung Kraf Winaca, yang terletak kira-kira 45 minit dari Bandar Baguio.
Menurut kementerian itu dalam kenyataan sama, Narda secara aktif melibatkan artisan Orang Asli Cordilleran dalam memelihara teknik tenunan tradisional sambil memastikan mata pencarian yang mampan.
Para tukang di Narda menggabungkan motif tradisional dengan fungsi moden, menjadikan produk relevan dengan pasaran kontemporari, sambil memfokuskan pada proses mesra alam yang menggunakan pewarna dan bahan semula jadi.
”Sarawak boleh bekerjasama dengan Winaca Craft Village untuk membangunkan program pembinaan kapasiti yang meningkatkan kemahiran artis tempatan, menggalakkan amalan mampan dan mencipta peluang baharu untuk akses pasaran.
”Perkongsian ini dapat memupuk pertukaran pengetahuan dan meningkatkan prospek ekonomi kraf tradisional dan pada masa yang sama menyokong pemuliharaan warisan budaya di kedua-dua wilayah,” tambahnya.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian, Datu Sherrina Hussaini dan Pengurus Majlis Kraf Sarawak, Suriya Charles.