SIMANGGANG: Mahkota Ratu Pelancongan Benak atau ‘Miss Tourism Benak 2024’ diraih Fraklye Ozzia Patrick.
Dia membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala, sijil selain hadiah sampingan.
Pertandingan itu diadakan sempena Pesta Benak 2024 yang berakhir semalam.
Reyna Anis Griffin pula muncul naib juara dengan hadiah RM3,000, piala dan sijil, manakala ketiga dimenangi Maryline Dyna Alexius untuk hadiah RM2,000, piala dan sijil.
Ketiga-tiga pemenang juga mendapat hadiah sampingan pakej ‘Spa Package The Luxe Yu Spa & Beauty’.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Datin Simba Nalang, isteri kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
Hadir sama pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh; Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Sri Aman, Datu Indit Bangai; Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Charlie Keling dan Jurutera Jabatan Saliran dan Pengairan Bahagian Sri Aman, Mazolizam Mohamad.
Sementara itu, tiga lagi peserta menerima hadiah sagu hati masing-masing RM300 serta sijil iaitu Agnes Sipin Jabin, Intan Syafiqah Yunus dan Siti Nursyamimi Halimi.
Bagaimanapun, tuah menyebelahi salah seorang pesertanya iaitu Tracy Pinn apabila diumum sebagai pemenang kategori ‘Miss Popular & Miss Photogenic’, untuk hadiah RM1,000, sijil dan piala.
Dua lagi peserta iaitu Maryline Dyna dan Sonia Zizi Jinn masing-masing diumum sebagai pemenang kategori ‘Miss Talented’ dan ‘Best Costume’ pada pertandingan itu untuk hadiah RM1,000 setiap seorang selain sijil dan piala.
Terdahulu, seramai lapan peserta akhir berentap merebut mahkota Miss Tourism Benak 2024 bersempena dengan sambutan Pesta Benak Sri Aman 2024 edisi ke-21 di Pentas Kebudayaan di bandar ini.
Oleh VALENTINE NGUMBANG